Sorting by

×

MELAKA ANTARA 4 NEGERI BANGUNKAN HOTEL WAKAF

Masa Membaca:1 Minit, 25 Saat

PANTAI KUNDOR 7 Mac – Melaka menjadi antara empat negeri yang terlibat dalam projek pembangunan hotel berasaskan dana wakaf di negara ini bagi menyokong pembangunan komuniti.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Marhamah Rosli berkata, pembangunan hotel wakaf tersebut membuktikan konsep wakaf bukan sekadar tertumpu kepada sumbangan semata-mata, malah mampu dimanfaatkan melalui projek pembangunan yang memberi manfaat kepada masyarakat.

Menurutnya, kewujudan hotel wakaf memperlihatkan kesinambungan usaha memanfaatkan wakaf bukan sahaja dari sudut kebajikan malah pembangunan komuniti secara menyeluruh.

“Untuk makluman semua, Hotel Puteri Bay di kawasan DUN (Dewan Undangan Negeri) Pantai Kundor adalah hotel wakaf yang dibina di atas tanah wakaf Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) dan diuruskan oleh Yayasan Wakaf Malaysia.

“Kita dapat melihat kesinambungan kerja-kerja wakaf itu bukan sahaja dari sudut sumbangan tetapi juga dari sudut menyentuh komuniti.

“Dengan berdirinya hotel ini, ia merupakan satu inisiatif Yayasan Wakaf Malaysia yang wajar kita uar-uarkan agar lebih ramai masyarakat tampil berwakaf,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyertai Program Singgah Sahur sempena Bulan Wakaf Malaysia di sini, awal pagi tadi.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pantai Kundor yang juga Timbalan Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri Datuk Tuminah Kadi @ Mohd Hashim dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Wakaf Malaysia, Dr. Ridzwan Bakar.

Mengulas lanjut, Marhamah berkata selain Melaka, hotel wakaf turut dibangunkan di Terengganu, Negeri Sembilan dan Perak, menjadikan jumlah keseluruhan hotel wakaf di Malaysia sebanyak empat buah setakat ini.

Terdahulu, Marhamah diiringi Tuminah dan Dr. Ridzwan menyantuni lapan rumah di DUN Pantai Kundor bagi memberikan sumbangan daripada Tabung Musa’adah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) berbentuk makanan dan sumbangan tunai daripada Yayasan Takwa.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

327
Kongsi :
Previous post HILAI TAWA ANAK ASNAF SENTUH HATI TOK RAOP
Next post PENGUNJUNG MENARA TAMING SARI MENINGKAT TIGA KALI GANDA