
MELAKA BAIK PULIH 20 SEKOLAH RENDAH AGAMA
BUKIT KATIL 13 Jun – Sebanyak 20 buah Sekolah Rendah Agama (SRA) Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) akan dibaik pulih bagi memastikan kualiti pendidikan terbaik dan persekitaran kondusif buat pendidik dan pelajar.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, kerja baik pulih itu melibatkan peruntukan berjumlah RM570,645 oleh Kerajaan Negeri.
Selain itu, Ab Rauf turut memaklumkan, pada 2024, Kerajaan Negeri juga telah meluluskan peruntukan bagi pembinaan empat SRA JAIM baharu iaitu melibatkan kawasan Durian Daun; Pasir Puteh, Bachang; Melaka Pindah dan Tanjung Kling.
“Usaha ini menampakkan keprihatinan Kerajaan Negeri untuk pelaburan pendidikan anak-anak Melaka demi memastikan kecemerlangan pendidikan terus terpelihara, selain menyedia kualiti pendidikan terbaik serta kondusif.
“Antara 20 SRA JAIM terlibat untuk kerja-kerja baik pulih adalah SRA JAIM Batang Melaka; SRA JAIM Klebang Besar; SRA JAIM Pulai; SRA JAIM Sungai Rambai; SRA Kem Terendak; SRA JAIM Ayer Molek Kuala Sungai Baru; SRA JAIM Melekek Luar; SRA JAIM Al-Ikhlas; SRA JAIM Kuala Linggi; SRA JAIM Ujong Padang dan SRA JAIM Ramuan Cina Besar.
“Baik pulih itu juga turut membabitkan SRA JAIM Kesang Tua, Jasin; SRA JAIM Balai Panjang; SRA JAIM Krubong; SRA JAIM Bukit Lintang; SRA JAIM Al-Hidayah, Ayer Paabas; SRA JAIM Pantai Belimbing, Durian Tunggal; SRA JAIM Datin Zabedah dan SRA JAIM Durian Daun,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap seterusnya menyempurnakan Majlis Sambutan Hari Guru JAIM Peringkat Negeri Melaka Tahun 2025, di sebuah hotel, di sini hari ini.
Hadir sama, Timbalan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rosli Abdullah; Pengarah JAIM Datuk Md Azhan Samad serta kenamaan lain.
Dalam pada itu, Ab Rauf memaklumkan Kerajaan Negeri melalui JAIM turut memperuntukkan lebih RM300,000 di bawah inisiatif pembangunan profesionalisme bagi guru-guru KAFA dan Tadika JAIM.
“Inisiatif ini bertujuan untuk memperkasa perkhidmatan perguruan dan melahirkan guru yang berkualiti,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.