
MELAKA BAKAL ADA LIMBUNGAN KAPAL BAHARU
SERI NEGERI 23 Mei – Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh mengadakan pertemuan bersama pengurusan Desan Shipyard dan Henry The Black Shipyard di pejabatnya, petang tadi.
Pertemuan itu susulan memorandum persefahaman (MoU) dimeterai antara Zon Ekonomi Khas Straits of Melaka Waterfront Economic Zone (SM-WEZ) dan Henry the Black Shipyard Sdn Bhd bagi cadangan pembangunan Limbungan Enrique of Malacca pada Pameran Aeroangkasa dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2025 (LIMA’25) di Pulau Langkawi, Kedah, baru-baru ini.
Pertemuan itu melibatkan pemegang saham Desan Shipyard, Merey Gunduz Kaptanoglu dan Cengiz Kaptanoglu, hadir sama Pengarah Henry The Black Shipyard, Datuk Wira Anuar Ahmed.
Ab Rauf menyambut baik perkembangan prosedur termasuk proses teknikal yang sedang berjalan, selain mengambil maklum terhadap cadangan pembangunan berfasa di kawasan tanah tebus guna di Tanjung Bruas yang menjadi sebahagian daripada kluster pembangunan bersepadu di SM-WEZ.
Kerajaan Negeri komited dalam menjadikan SM-WEZ sebagai pemangkin utama pertumbuhan ekonomi negeri melalui kerjasama strategik dengan pelabur tempatan dan antarabangsa.
Pembangunan projek seperti Limbungan Enrique of Malacca bukan sahaja membuka peluang pekerjaan berkemahiran tinggi kepada rakyat, malah turut memperkukuh ekosistem maritim dan logistik negeri secara menyeluruh.
Inisiatif ini sejajar dengan aspirasi Melaka ke arah menjadi hab maritim serantau yang berdaya saing dan mampan.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.