
MELAKA BAKAL JADI TUMPUAN ULAMA, ILMUAN ISLAM TAHUN DEPAN
BUKIT PALAH 6 Disember – Melaka bakal menjadi tumpuan ulama dan ilmuan Islam dunia apabila Jabatan Mufti Negeri Melaka merancang akan mengadakan dua persidangan antarabangsa pada tahun hadapan.
Mufti Melaka Datuk Wira Abdul Halim Tawil berkata, persidangan itu nanti secara tidak langsung akan menyumbang kepada pembangunan ekonomi Islam, pelancongan ilmu dan imej Melaka sebagai negeri berteras Islam.
“Di Jabatan Mufti kami Ada merancang untuk menganjurkan program peringkat antarabangsa berbentuk persidangan pada tahun hadapan.
“Antaranya adalah pertemuan ulama sedunia yang dijangka pada Julai dan menjadi pentas persidangan ekonomi Islam di peringkat antarabangsa. Pastinya Melaka akan menjadi lokasinya.
“Penganjuran ini secara tidak langsung akan memperkukuh hubungan antarabangsa dan membuka ruang kerjasama lebih luas dalam aspek fatwa, pendidikan serta ekonomi Islam,” katanya dalam wawancara khas bersama Melaka Hari Ini.
Menurut Abdul Halim, sambutan Tahun Melawat Melaka 2.0 (TMM 2.0) yang akan berlangsung tahun hadapan bukan sahaja tertumpu kepada aktiviti pelancongan, budaya atau makan-makan sahaja, tetapi juga turut menerapkan elemen pendidikan, dakwah dan bersifat profesional.
“Pada kami di Jabatan Mufti dan agensi agama, kita melihat TMM 2.0 dan Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026) sebagai platform untuk merancang dari sudut pertemuan ulama sedunia, ulama nusantara mahupun perbincangan tokoh agamawan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


