Sorting by

×

MELAKA BAKAL LANCARKAN UNIT SENI DAN BUDAYA

Masa Membaca:1 Minit, 45 Saat

SUNGAI UDANG 26 Mei – Bersempena Pra Pelancaran Hari Pelancongan Sedunia (WTD) dan Persidangan Pelancongan Sedunia (WTC) 2025 pada Julai depan, Kerajaan Negeri akan mengumumkan satu unit baharu yang dinamakan Unit Seni dan Budaya Negeri Melaka.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, unit baharu itu merupakan penggabungan daripada Institut Warisan Melaka (INSWA) dan Briged Seni Negeri Melaka, di mana ia akan ditempatkan di bawah Jabatan Ketua Menteri Melaka.

Jelas beliau, penggabungan dua entiti itu dalam satu unit bertujuan untuk mengelakkan persaingan, selain ia juga merupakan usaha baharu dalam memperkasa warisan seni dan budaya negeri bersejarah ini.

“Saya tidak mahu lagi INSWA hidup sendiri dan Briged Seni hidup sendiri. Saya tidak mahu ada persaingan antara kedua-duanya. Jadi, pada Julai ini, kita akan gabungkan kedua-duanya menjadi Unit Seni dan Budaya Negeri Melaka.

“Kita mahu tunjukkan bahawa seni dan budaya Melaka ini cukup indah dan ia akan dibawa bukan sahaja di dalam negara, tapi kita akan pasarkannya ke seluruh dunia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutup dan Penyampaian Hadiah Pertandingan Dondang Sayang Peringkat Negeri Melaka Sempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) DUN Sungai Udang di Japerun Sungai Udang, di sini, malam tadi.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri merangkap Penyelaras DUN Sungai Udang Datuk Rais Yasin; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman dan Timbalan Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri Tuminah Kadi @ Mohd Hashim.

Turut bersama, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Datuk Shadan Othman; Pengurus Besar Institut Warisan Melaka (INSWA) Drs. Mohd Nasruddin Rahman serta lain-lain kenamaan.

Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata, Kerajaan Negeri akan terus memberi sokongan tidak berbelah bahagi kepada penggiat seni di negeri ini dalam usaha merancakkan sektor pelancongan seni dan budaya.

Malah, beliau optimis Melaka bukan sahaja dikenali sebagai Bandar Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO), bahkan seni dan budayanya juga akan diiktiraf dunia pada masa akan datang.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1070
Kongsi :
Previous post DONDANG SAYANG ‘MENU’ UTAMA WTD, WTC 2025