Sorting by

×

MELAKA BAKAL MILIKI PAM BERGERAK TANGANI BANJIR TERMENUNG

Masa Membaca:2 Minit, 4 Saat

PAYA RUMPUT 3 Mac – Masalah banjir termenung yang sering berlaku di beberapa kawasan dalam daerah Jasin dapat diatasi dengan lebih baik apabila negeri ini bakal memiliki pam bergerak (portable pump).

Ia selepas Timbalan Perdana Menteri II yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof mengumumkan sebanyak 606 pam bergerak akan ditempatkan di seluruh negara melibatkan aset Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri dan persekutuan.

Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin berkata, permohonan untuk mendapatkan pam tersebut telah diusulkan agak lama dan berita yang diumumkan itu nyata memberi kelegaan dalam usaha Kerajaan Negeri membantu rakyat yang sering diuji dengan musibah banjir.

Jelas Rais, setakat ini pihaknya belum mendapat maklumat berapa unit pam bergerak akan diterima Negeri Melaka dan akan mengumumkannya sebaik menerima kemudahan berkenaan.

“Sebelum ini, antara kawasan yang sering terjejas dengan banjir termenung adalah di sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Rambai. Di kawasan ini saya difahamkan adakalanya ia berlarutan sehingga lebih seminggu.

“Oleh sebab itu, pemilikan pam bergerak ini amat kita sambut baik dalam mengatasi masalah banjir yang membelenggu rakyat di kawasan rendah seperti di Sungai Rambai dan beberapa kawasan lain.

“Apapun, mewakili Kerajaan Negeri, saya merakamkan ucapan terima kasih kepada Timbalan Perdana Menteri dan Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) kerana merealisasikan kemudahan yang dapat membantu rakyat seperti ini,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paya Rumput berkata demikian kepada pemberita selepas Upacara Menaikkan Kubah Menara Kompleks As Solihin, Kampung Paya Rumput, di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri merangkap Adun Pantai Kundor Datuk Tuminah Kadi @ Mohd Hashim; Pegawai Daerah Melaka Tengah Mohd Shaiful Hizam Johan; Pengerusi Masjid As Solihin Datuk Wira Yasin Sarif serta lain-lain kenamaan.

Rais berkata, pihaknya juga telah mengadakan pertemuan dengan Timbalan Perdana Menteri II baru-baru ini bagi membawa suara rakyat Paya Rumput susulan masalah banjir yang sering berlaku di beberapa kawasan.

Jelas beliau, dalam pertemuan itu, pihaknya telah memohon kerja naik taraf saliran di sekitar DUN Paya Rumput kepada pihak kementerian memandangkan kos naik taraf itu memerlukan belanja yang agak besar.

“Kita bakal memiliki sebuah kolam takungan banjir di Taman Rambai Utama yang bernilai hampir RM6 juta, tetapi daripada kolam itu kita masih memerlukan projek sokongan membabitkan naik taraf saliran di sungai berhampiran bagi mengelakkan risiko limpahan air. Jadi, saya amat berharap perkara ini dapat diteliti dan diluluskan PETRA,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

422
Kongsi :
Previous post MENARA KUBAH MASJID KETIGA TERTINGGI ADA DI KAMPUNG PAYA RUMPUT
Next post MELAKA JAMIN BEKALAN AIR CUKUP, PARAS 3 EMPANGAN UTAMA MENINGKAT