Sorting by

×

MELAKA BANGUNKAN PROJEK LIMBUNGAN KAPAL DIINSPIRASI NAMA PANGLIMA AWANG

Masa Membaca:2 Minit, 42 Saat

LANGKAWI 20 Mei – Melaka terus memacu pembangunan berimpak tinggi menerusi projek pembinaan sebuah limbungan kapal (shipyard) yang diinspirasikan daripada nama pelayar Melayu terkemuka menyeberangi dunia iaitu Panglima Awang yang juga dikenali sebagai Enrique of Malacca.

Projek Enrique Of Malacca Shipyard itu dimeterai pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) di antara SM-WEZ Corporation dengan Henry The Black Shipyard Sdn Bhd pada Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2025 (LIMA’25) yang berlangsung di Mahsuri International Exhibition Cenre, Langkawi, hari ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, limbungan kapal itu akan dibina di atas tanah seluas 17.12 hektar (42.3 ekar) dalam zon ekonomi khas Straits of Melaka Waterfront Economic Zone (SM-WEZ) dengan melibatkan kos berjumlah RM180 juta.

Jelas beliau, projek berkenaan bakal merangkumi tiga komponen utama iaitu ‘Ship Building & Ship Repair’ (SBSR); ‘Marine Services’; dan ‘Tourism Attraction’.

“Dengan jumlah Gross Development Value (GDV) yang dianggarkan sebanyak RM1.8 bilion, projek ini mampu mengendalikan sekitar 40 buah kapal setahun serta menjana peluang pekerjaan kepada lebih 500 tenaga kerja mahir.

“Kelebihan SM-WEZ yang terletak di perairan Selat Melaka, iaitu laluan perkapalan paling sibuk di dunia dengan dilalui lebih 100,000 kapal setiap tahun, serta kedalaman semula jadi perairannya, pasti menjadikan kawasan ini sebagai tumpuan utama bagi pemain industri maritim dan pemilik kapal,” katanya selepas menyaksikan pemeteraian MoU berkenaan.

Terdahulu MoU itu dimeterai oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad yang mewakili SM-WEZ Corporation dan Kerajaan Negeri sambil disaksikan Ketua Pegawai Eksekutif SM-MEZ Corporation Datuk Shamsul Ambia Abd Aziz.

Manakala Henry The Black Shipyard Sdn. Bhd diwakili Pengarahnya, Cenk Ismail Kaptanoglu dan disaksikan Penasihat syarikat berkenaan Marikh Azahari Ramli.

Turut hadir menyaksikan majlis menandatangani MoU itu adalah Pegawai Kewangan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh; Pegawai Undang-Undang Negeri Khairul Azreem Mamat serta Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer.

Whatsapp image 2025 05 20 at 19.51.24
PROJEK Enrique Of Malacca Shipyard bakal melengkapkan inisiatif ‘Future Maritime City’ di Melaka. Foto Amirul Hadi / Pejabat Ketua Menteri

Menurut Ab Rauf, projek berkenaan merupakan sebahagian perancangan Kerajaan Negeri melalui inisiatif ‘Future Maritime City’ iaitu sebuah transformasi strategik yang merangkumi Pelabuhan Baharu, Jeti Terminal Cruise, sektor Perindustrian Hi-Tech serta aktiviti pelancongan komersial seperti Water Chalet dan Marina.

Beliau turut menyuarakan keyakinan, projek itu mampu direalisasikan melihat kepada keupayaan Henry the Black Shipyard iaitu sebuah syarikat swasta dengan kepakaran dan tenaga kerja yang berpengalaman luas dalam bidang maritim, khususnya dalam operasi limbungan kapal (shipyard).

“Malah, Syarikat ini turut menjalin kerjasama strategik dengan Desan Deniz, sebuah syarikat perkapalan terkemuka dari Istanbul, Turkiye yang telah beroperasi lebih 47 tahun dalam industri maritim global,” katanya.

Ketua Menteri berkata, pemeteraian dua MoU pada penganjuran LIMA’25 iaitu projek Enrique Of Malacca Shipyard dan pembangunan Pusat Kecemerlangan Penerbangan di Lapangan Antarabangsa Melaka (LTAM) bersama syarikat Weststar Aviation Sdn Bhd menunjukkan bahawa Melaka kini sedang bersedia untuk memasuki fasa baharu pembangunan ekonomi berasaskan industri masa depan.

“Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Henry the Black Shipyard serta Weststar Aviation atas kepercayaan tinggi terhadap potensi Melaka.

“Insya-Allah, Melaka akan terus menggamit dunia dan kekal sebagai destinasi pilihan utama pelabur, pelabuhan dan penerbangan masa depan,” ujar beliau.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

573
Kongsi :
Previous post PERKASA WAKAF PENDIDIKAN DI MELAKA
Next post PERPUSTAKAAN DESA BERTAM HULU BERWAJAH BAHARU