Sorting by

×

MELAKA BANGUNKAN ‘SUARA’, PLATFORM RASMI HIMPUN MAKLUM BALAS RAKYAT

Masa Membaca:1 Minit, 16 Saat

BANDA HILIR 11 November – Sistem Umum dan Analitik Rakyat (SUARA) dibangunkan di bawah Melaka Data Intelligence Centre (MDIC) kini menjadi platform rasmi Kerajaan Negeri bagi pengumpulan data awam dan maklum balas rakyat secara sistematik.

Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan berkata, MDIC memainkan peranan strategik dalam menggabungkan data raya dan kecerdasan buatan (AI) untuk menghasilkan ramalan serta keputusan berasaskan bukti.

“SUARA merupakan sistem e-kaji selidik dengan analitik masa yang membolehkan kerajaan mengumpul pandangan rakyat dengan teratur, seterusnya diterjemahkan kepada tindakan dan penambahbaikan dasar yang memberi manfaat kepada rakyat.

“Penggunaan SUARA dibuka bukan saja kepada jabatan dan agensi Kerajaan Negeri, malah boleh dimanfaatkan institusi pengajian tinggi (IPT), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), industri dan pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) secara percuma.

“Mereka yang mahu menggunakan SUARA ini perlulah berkolaborasi dengan Institut Tun Perak (ITP) dan Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Melaka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Konvensyen Data Raya Negeri Melaka 2025 bertemakan ‘Data Raya Pemangkin Transformasi Digital Negeri’ di sebuah hotel di sini, hari ini.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif ITP Prof. Madya Dr. Ainuddin Iskandar Lee Abdullah.

Fairul Nizam berkata, data dikumpulkan akan diselenggara oleh ITP dan dianalisis bagi menghasilkan dapatan yang boleh diterjemahkan kepada tindakan lebih tepat dan berkesan.

“Sistem ini telah siap dan akan digunakan dalam Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) akan datang.

“Saya meminta semua agensi Kerajaan Negeri, persekutuan, GLC, NGO dan rakyat untuk bersama mengguna pakai SUARA,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

464
Kongsi :
Previous post BAJET MELAKA 2026: PERTINGKAT AKSES KESIHATAN RAKYAT
Next post MTL: BOMBA MELAKA KENAL PASTI 106 LOKASI DI MELAKA BERISIKO BANJIR