
MELAKA BANTU 72 SYARIKAT BERKEMBANG MENERUSI ‘MIB’
BANDA HILIR 3 Disember – Melaka Industrial Booster (MIB) yang ditubuhkan Mac tahun lalu terbukti berjaya mempermudah urusan pelabur untuk bertapak di Melaka.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, MIB juga secara tidak langsung menjadi pemudah cara untuk syarikat-syarikat yang ada di negeri ini terus berkembang memandangkan ia berupaya mempercepatkan prosedur yang diperlukan.
Jelas beliau, setakat ini, sebanyak 72 buah syarikat dan projek telah mendapat manfaat daripada MIB pada pelbagai peringkat pembangunan.
“MIB menjadi inisiatif yang kita sediakan menerusi Invest Melaka Berhad dalam memastikan pelabur atau pemain industri tidak menunggu begitu lama, selain mengurangkan kerenah birokrasi.
“Alhamdulillah, 72 syarikat telah mendapat manfaat daripada MIB, di mana ia mempercepatkan proses yang ada seperti pemindahan tanah, pemilikan, memulakan kerja dan lain-lain lagi, sekali gus menunjukkan komitmen Kerajaan Negeri dalam memberi sokongan kepada pelabur,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Chief Minister Industrial Excellence Award (CMIEA) 2025 di sebuah hotel, di sini, malam tadi.
Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; Timbalan Ketua Setiausaha (Industri) Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Datuk Hanafi Sakri serta barisan Exco Kerajaan Negeri.
Yang turut hadir, Timbalan Exco Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan TVET negeri Datuk Khaidhirah Abu Zahar; Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Melaka (MCORP) Datuk Mohd Yusof Abu Bakar; Ketua Pegawai Eksekutif Invest Melaka Berhad Datuk Ginie Lim Siew Lin serta ketua-ketua jabatan dan agensi.
Menurut Ab Rauf, MIB juga bertindak sebagai sebuah pusat sehenti yang menghimpunkan 29 agensi di bawah satu bumbung, sekali gus melancarkan segala prosedur dan urusan syarikat di negeri ini.
Katanya, bertitik tolak daripada inisiatif itu juga, Melaka telah mendapat pujian daripada Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar kerana berjaya mempercepatkan proses serta meningkatkan kecekapan sehingga membantu mengurangkan kos sebanyak 75 peratus.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

