Sorting by

×

MELAKA BAWA RESOLUSI BENARKAN HUKUMAN ROTAN DI SEKOLAH

Masa Membaca:1 Minit, 30 Saat

AYER KEROH 13 Disember – Mewujudkan seksyen khas bagi membenarkan hukuman rotan pelajar di sekolah menjadi antara 10 resolusi yang akan dibawa Kerajaan Negeri ke peringkat Kementerian Pendidikan menerusi Konvensyen Khas Pendidikan Negeri Melaka.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, menerusi syor tersebut, guru-guru akan dibenarkan untuk merotan pelajar yang melakukan kesalahan atau melanggar undang-undang di sekolah, namun ia akan dibuat dalam bentuk berhemah untuk membentuk akhlak dan bukannya mencederakan.

Jelas beliau, perkara itu antara yang dibincangkan dalam bengkel yang diadakan bersempena konvensyen berkenaan melibatkan pelbagai pihak berkepentingan, termasuklah guru, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah-sekolah, komuniti serta rakan strategik termasuk pihak berkuasa.

“Konvensyen ini amat penting kerana Kerajaan Negeri berpendirian bahawa mencegah adalah lebih baik daripada mengubati.

“Semua usaha ini menjadi manifestasi tanggungjawab yang dipikul Kerajaan Negeri dalam mencari jalan keluar untuk membentuk kembali akhlak anak-anak, susulan banyak masalah-masalah sosial yang berlaku membabitkan pelajar sejak akhir-akhir ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan penutup Konvensyen Khas Kerajaan Negeri Bersama PIBG Sekolah, Komuniti dan Rakan Strategik Pendidikan Negeri Melaka Tahun 2025 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri serta lain-lain kenamaan.

Menurut Ketua Menteri, konvensyen tersebut telah menghimpunkan lebih 2,000 peserta di mana ia bukan sahaja disokong sekolah harian biasa di bawah Kementerian Pendidikan, bahkan juga sekolah bantuan kerajaan.

Beliau berharap usaha dilakukan Melaka dengan penganjuran konvensyen tersebut dapat menzahirkan sebuah keputusan yang dapat memeta hala tuju pendidikan negara pada masa hadapan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

319
Kongsi :
Previous post PROMOSI CUTI SEKOLAH DI MELAKA WONDERLAND, TIKET SERENDAH RM35!
Next post MELAKA BENTANG 10 RESOLUSI TRANSFORMASI PENDIDIKAN NEGARA