
MELAKA BAWA SUARA ‘ABANG RIDER’ KE SURUHANJAYA EKONOMI GIG MALAYSIA
SERI BENDAHARA 12 Mac – Kerajaan Negeri memandang serius aspek kebajikan pekerja ekonomi gig yang kini semakin berkembang di negeri ini.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, pelbagai cadangan dan pandangan telah diterima Kerajaan Negeri daripada persatuan dan wakil pekerja gig di negeri ini, khususnya berfokus kepada kebajikan penunggang p-hailing dan pemandu e-hailing.
Oleh itu, ujar beliau, semua suara itu akan dipanjangkan kepada Suruhanjaya Ekonomi Gig Malaysia (SEGiM) bagi memastikan golongan tersebut mendapat pembelaan sewajarnya.
“Saya akan menerima cadangan-cadangan ini dan seterusnya memanjangkannya kepada SEGiM agar kebajikan mereka dapat dilindungi.
“Mereka perlu diberikan penilaian yang sewajarnya setaraf dengan sumbangan mereka kepada ekonomi digital Negeri Melaka,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Moreh YAB Ketua Menteri Melaka Bersama Rider dan Penggiat Gig di Seri Bendahara, malam tadi.
Hadir sama, Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan serta barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri.
Turut hadir, Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Kerk Chee Yee; Penasihat Khas Pelaburan dan Hal Ehwal Negara China Kepada Ketua Menteri Datuk Wira Lim Ban Hong serta kenamaan lain.
Dalam pada itu, Ab Rauf turut meminta kepada mana-mana penunggang p-hailing atau pemandu e-hailing yang terlibat dengan kemalangan ketika bertugas untuk memaklumkan kepada Pejabat Ketua Menteri.
Jelas beliau, bantuan dan sumbangan sewajarnya akan disalurkan segera kepada mereka yang diuji dalam usaha meringankan beban terutama menjelang Aidilfitri yang bakal tiba.
“Saya harap sedikit sebanyak sumbangan dan bantuan yang dihulurkan ini nanti dapat meringankan bebanan mereka yang ditimpa musibah sehingga menjejaskan mata pencarian keluarga,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


