
MELAKA BENTANG 10 RESOLUSI TRANSFORMASI PENDIDIKAN NEGARA
AYER KEROH 13 Disember – Sebanyak 10 resolusi dalam memeta hala tuju pendidikan negara akan dibawa Kerajaan Negeri menerusi penganjuran Konvensyen Khas Pendidikan Negeri Melaka yang berlangsung selama dua hari, berakhir hari ini.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, Melaka merupakan negeri pertama dalam negara menganjurkan konvensyen pendidikan seumpamanya melibatkan pelbagai pihak berkepentingan, termasuklah guru, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), komuniti serta pihak berkuasa.
Jelas beliau, resolusi pertama yang akan dibawa adalah menguatkuasakan tindakan undang-undang terhadap ibu bapa yang membiarkan anak ponteng sekolah, di mana ia bertujuan menangkis tindakan menormalisasikan sikap lepas tangan terhadap sahsiah anak-anak.
Selain itu, dapatan kedua adalah mewajibkan kelas al-Quran dan fardu ain (KAFA) kepada semua murid sekolah rendah Negeri Melaka, memandangkan pendidikan agama dan adab mesti dibentuk dari kecil dan tidak boleh menjadi agenda sampingan.
“Ketiga, ketua jabatan, wakil rakyat dan pemimpin masyarakat dijadikan bapa angkat kepada sekolah-sekolah untuk memantau disiplin pelajar.
“Seterusnya menyekat aplikasi yang memberi pengaruh negatif kepada pelajar kerana kita tidak mahu aplikasi yang mempunyai kandungan toksik ini menjadi guru kedua sehingga merosakkan sahsiah anak-anak.
“Manakala resolusi kelima adalah menguatkuasakan larangan penjualan vape dan rokok atau mengehadkan lokasi jualan vape dan rokok 1 kilometer dari sekolah,” katanya ketika berucap merasmikan penutup Konvensyen Khas Kerajaan Negeri Bersama PIBG Sekolah, Komuniti dan Rakan Strategik Pendidikan Negeri Melaka Tahun 2025 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri serta lain-lain kenamaan.
Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata, resolusi keenam adalah menarik hak pelajar yang ponteng sekolah dan mempunyai masalah disiplin tegar sebagai penerima bantuan pendidikan.
Menurut beliau, ia diikuti dengan syor membangunkan sistem bersepadu secara digital berkaitan psikososial dan kesihatan mental selain cadangan menyekat penggunaan media sosial bagi pelajar 17 tahun ke bawah sebagai perlindungan kepada ketagihan platform media sosial.
“Seterusnya mewajibkan semua pelajar dalam mini Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) di sekolah; dan terakhir penguatkuasaan hukuman rotan secara berhemah dengan kebenaran ibu bapa serta penjaga untuk membentuk disiplin pelajar,” katanya.
Ketua Menteri berharap, kesemua resolusi itu diharap dapat menarik perhatian Kementerian Pendidikan bagi sama-sama menjayakan transformasi pendidikan negeri dan negara seterusnya memberi maklum balas positif kepada Negeri Melaka.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


