Sorting by

×

MELAKA BENTANG BAJET 2026 BERJUMLAH RM528.8 JUTA, KEKALKAN INISIATIF BAJET LEBIHAN

Masa Membaca:2 Minit, 8 Saat

SERI NEGERI 5 Disember – Kerajaan Negeri, hari ini, membentangkan Bajet Negeri Melaka 2026 berjumlah RM528.8 juta.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, jumlah itu merangkumi perbelanjaan mengurus iaitu RM23.4 juta bagi maksud tanggungan dan RM504.4 juta bagi maksud bekalan.

Jelas beliau, pada 2026, Kerajaan Negeri mengunjurkan anggaran hasil berjumlah RM528.9 juta, sekali gus mengekalkan inisiatif bajet lebihan seperti tahun-tahun sebelumnya.

Sementara itu, ujar beliau, Perbelanjaan Pembangunan pula berjumlah RM93 juta merangkumi RM56.6 juta daripada sumber Hasil Negeri; RM28.4 juta daripada Pemberian Berdasarkan Tahap Pembangunan Ekonomi, Infrastruktur dan Kesejahteraan Hidup (Geran TAHAP); RM8 juta daripada Ecological Fiscal Transfer for Biodiversity Conservation (EFT) dan RM20 token daripada Akaun Pinjaman Disatukan.

Manakala, anggaran hasil Kerajaan Negeri pula adalah menerusi Hasil Cukai berjumlah RM184.7 juta; Hasil Bukan Cukai RM295.7 juta dan Terimaan Bukan Hasil berjumlah RM48.5 juta.

Ab Rauf yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Bidara berkata, tema Bajet Negeri Melaka 2026 adalah Pembangunan Terancang, Demi Rakyat Untuk Rakyat yang digerakkan menerusi kepada tiga matlamat utama.

Jelas beliau, matlamat-matlamat itu adalah melestari pembangunan dan keberhasilan ekonomi; mensejahterakan rakyat dan pembangunan modal insan serta memantapkan tatakelola dan kecekapan tadbir urus.

Tambah beliau, Bajet 2026 juga diterjemahkan melalui ekosistem strategik, dengan 13 tumpuan utama, meliputi 11 portfolio Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan negeri (EXCO) serta perkhidmatan awam.

Beliau berkata, bajet 2026 juga dirangka berteraskan semangat ‘Melaka Sayang Rakyat (MeSRa)’, dengan mengutamakan kesejahteraan rakyat melalui pembangunan yang terancang dan inklusif.

Justeru, beliau memaklumkan, sebanyak 204 inisiatif telah disediakan untuk tahun 2026, di mana ia meningkat berbanding 168 inisiatif pada 2025.

Dalam pada itu, Ab Rauf turut mengumumkan dua berita gembira buat penjawat awam negeri iaitu Bantuan Khas Kewangan setengah bulan gaji atau minimum RM2,000 yang dibayar hujung bulan ini dan pemberian tambahan RM500 yang akan diberikan pada Mac 2026

“Bantuan Khas Kewangan kepada penjawat awam ini adalah sebagai tanda penghargaan di atas segala pencapaian sepanjang tahun 2025.

“Dengan pengumuman minimum RM2,000, seramai 1,153 orang akan mendapat lebih daripada sebulan gaji. Antaranya yang paling tinggi adalah seramai 631 orang Guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) serta guru Tadika Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM),” katanya.

Tidak hanya itu, buat julung kalinya, Ab Rauf turut mengumumkan insentif khas secara sekali bayar (one-off) kepada pengamal media di negeri ini, melibatkan implikasi kewangan berjumlah RM75,000.

Jelas beliau, pemberian itu bertujuan mengangkat peranan media yang menjadi jambatan dalam menyampaikan dasar, inisiatif dan pencapaian kerajaan kepada rakyat.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

227
Kongsi :
Previous post MELAKA UMUM DUA ‘MANIS-MANIS’ UNTUK PENJAWAT AWAM
Next post MELAKA UMUM INSENTIF KHAS RM500 UNTUK PENGAMAL MEDIA