Sorting by

×

MELAKA BERBESAR HATI PROJEK ‘WISHLIST’ DIANGKAT DALAM BELANJAWAN 2026

Masa Membaca:2 Minit, 33 Saat

AYER KEROH 10 Oktober – Melaka menyambut baik pembentangan Belanjawan 2026 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang disifat menyeluruh dan prihatin rakyat.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, bertemakan ‘Belanjawan Rakyat’, ia mencerminkan komitmen Kerajaan MADANI dalam menjamin serta memelihara kesejahteraan rakyat, di samping memastikan ekonomi negara kekal kukuh dan stabil.

Menurut beliau, Kerajaan Negeri Melaka juga amat berbesar hati dan menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan atas keprihatinan Kerajaan Persekutuan yang telah meluluskan serta memperuntukkan dana kepada bagi pelaksanaan projek-projek yang turut tersenarai dalam ‘wishlist’ pembangunan negeri.

Jelas beliau, antara projek tersebut adalah jalan baharu dari Jalan Masjid Tanah Kuala Linggi ke Telok Gong, Alor Gajah dan naik taraf jalan dari Sungai Udang ke Masjid Tanah, Alor Gajah.

“Selain itu, ia turut membabitkan pembinaan semula bangunan daif berserta bangunan tambahan di SMK Ghafar Baba, Alor Gajah; pembinaan semula bangunan baharu dan naik taraf bangunan asrama di SMK Tinggi Perempuan, Melaka Tengah serta naik taraf Muzium Samudera Fasa 1, Jalan Quayside.

“Antara projek lain yang diluluskan adalah penggantian paip usang sepanjang lebih 820 kilometer (km) yang turut melibatkan Negeri Melaka,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Pejabat Ketua Menteri.

Mengulas lanjut, Ketua Menteri turut menyambut baik pengumuman peruntukan melebihi RM700 juta melalui pelbagai inisiatif berkaitan sektor pelancongan termasuk insentif pelepasan cukai sehingga RM1,000 bagi rakyat yang melancong dalam negara.

Menurut beliau, ia bukan sahaja menyuntik semangat sektor pelancongan, malah membuka peluang ekonomi baharu kepada pemain industri tempatan.

“Sebagai negeri pelancongan yang terkenal dengan keunikan sejarah dan budaya, inisiatif ini dijangka menggandakan kedatangan pelancong sekali gus memperkukuh kedudukan Negeri Melaka sebagai destinasi pelancongan unggul negara,” ujar beliau.

Pada masa sama, Ab Rauf berterima kasih kepada Kerajaan Persekutuan di atas pengumuman berhubung penglibatan Negeri Melaka selain Segamat dan Selangor dalam pembangunan ladang solar oleh UEM Lestra, yang amat penting dalam memenuhi penetapan sasaran 70 peratus kapasiti penjanaan elektrik daripada sumber tenaga boleh baharu menjelang 2050.

Selain itu, beliau berkata, pengumuman pelaksanaan projek-projek di bawah sektor pendidikan seperti pembinaan Kompleks Sekolah Batu Berendam; SMK Rumbia dan Kompleks Sekolah Anjung Gapam, Jasin, selain pembinaan tabika baharu di Kampung Lendu sememangnya amat dinantikan oleh rakyat Melaka khususnya anak-anak Melaka serta warga pendidik.

“Peruntukan untuk penyelenggaraan jalan persekutuan sebanyak RM2.5 bilion dan pemberian MARRIS sebanyak RM5.6 bilion turut dapat dimanfaatkan untuk menambahbaik jaringan jalan raya di Negeri Melaka.

“Selain itu, kebenaran Kerajaan Persekutuan untuk peruntukan MARRIS digunakan bagi kerja-kerja pembesaran longkang dan parit di jalan negeri boleh dimanfaatkan untuk mengurangkan risiko banjir di Negeri Melaka,” tambahnya.

Dalam pada itu, Ab Rauf berkata, Belanjawan 2026 turut merangkumi sektor perindustrian, pertanian, pendidikan TVET, pengangkutan awam, pembangunan wanita, belia, OKU, warga emas serta pembangunan usahawan yang diyakini mampu dimanfaatkan oleh rakyat Melaka dalam mempertingkatkan kesejahteraan kumpulan sasar berkaitan.

Malah, beliau memaklumkan, Kerajaan Negeri komited untuk menyambut inisiatif yang diluluskan di bawah Belanjawan MADANI Keempat Tahun 2026 dan akan diambil kira secara inklusif dalam penyediaan Bajet 2026 Negeri Melaka yang dijangka akan dibentangkan di Persidangan Dewan Undangan Negeri pada hujung November 2025.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

487
Kongsi :
Previous post STR, SARA MENINGKAT KEPADA RM15 BILION PADA 2026 HASIL PENYASARAN SUBSIDI – PM ANWAR
Next post BELANJAWAN 2026: PELEPASAN CUKAI MAMPU LONJAK PELANCONGAN MELAKA