
MELAKA BERI TUISYEN PERCUMA SPM, STPM UNTUK PELAJAR B40
AYER KEROH 5 Jun – Sebanyak RM200,000 diperuntukkan Kerajaan Negeri bagi melaksanakan Program Tuisyen Percuma khusus bagi calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) daripada keluarga B40 akan menduduki peperiksaan itu tahun ini.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, inisiatif itu adalah terjemahan kepada hasrat dan komitmen Kerajaan Negeri dalam menyediakan akses pendidikan berkualiti bagi rakyat Melaka.
Mengulas lanjut Ketua Menteri, berkata pelaksanaan inisiatif itu diharap dapat memastikan pelajar berasal daripada keluarga kurang berkemampuan tidak keciciran dalam akademik.
“Sudah pasti Kerajaan Negeri amat prihatin terhadap cabaran yang dihadapi oleh pelajar daripada keluar B40 ini dalam melakukan persediaan menghadapi peperiksaan.
“Berikutan itu Program Tuisyen Percuma ini diwujudkan, pelajar berkenaan berpeluang mengikuti kelas tambahan percuma, tanpa membebankan ibu bapa mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Apresiasi Pelajar Cemerlang SPM & Bijak Sejarah A+ Tahun 2024 serta Pelancaran Program Bijak SPM Tahun 2025 Negeri Melaka di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.
Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin; Timbalan Exco Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan TVET negeri, Datuk Khaidhirah Abu Zahar serta Pengurus Besar Tabung Amanah Pendidikan Negeri Melaka (TAPEM), Abdul Aziz Baba.
Tambah Ab Rauf, Kerajaan Negeri bertekad memastikan anak-anak daripada keluarga kurang berkemampuan tetap mampu memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan.
“Kita menyediakan peruntukan ini untuk memastikan bahawa tidak ada anak-anak yang tercicir daripada perhatian Kerajaan Negeri,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.