
MELAKA BERJAYA TARIK HAMPIR 300 ANAK WATAN SERTAI ASKAR WATANIAH
KLEBANG 24 Januari – Askar Wataniah di Melaka terus diperkukuhkan apabila berjaya menarik seramai 297 anak watan negeri ini pelbagai lapisan umur menyertai pasukan berkenaan sepanjang tahun lalu.
Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad berkata, kejayaan itu adalah hasil usaha dan penglibatan aktif pegawai dan sukarela menerusi pelaksanaan pelbagai program promosi.
Jelas beliau, kemasukan baharu itu secara tidak langsung berupaya memperkukuhkan lagi kekuatan anggota Rejimen Ke-514 Askar Wataniah Negeri Melaka.
“Penglibatan aktif semua telah menyumbang kepada pencapaian serta sambutan yang amat memberangsangkan sepanjang pengambilan askar wataniah tahun 2025.
“Melaluinya pelaksanaan promosi di pelbagai acara anjuran Kerajaan Negeri dan tentera darat, Rejimen Ke-514 Askar Wataniah telah berjaya melaksanakan sebanyak 38 aktiviti promosi dan telah melebihi sasaran 20 kali yang ditetapkan bagi satu rejimen,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Pembukaan Latihan Tahunan Askar Wataniah Rejimen Ke-514 Askar Wataniah Bagi Tahun 2026 di Encore Melaka, di sini, hari ini.
Hadir sama, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Datuk Shadan Othman.Hadir sama, Ketua Pengarah Bahagian Pasukan Simpanan Markas Tentera Darat Brigedier Jeneral Sani S. Omar; Ketua Staf 21 Grup Gerak Khas Brigedier Jeneral Mohd Musyadi Abdul Mutalib; Komander Rejimen 514 Askar Wataniah Brigedier Jeneral Datuk Yusof Jantan; Penasihat Undang-Undang Negeri Melaka Datuk Khairul Azreem Mamat; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Datuk Shadan Othman serta lain-lain kenamaan.
Dalam pada itu, Azhar yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pendukung Askar Wataniah (JAKPAW) Negeri Melaka turut merakamkan ucapan terima kasih di atas kerjasama semua yang terlibat dalam memacu askar wataniah kekal relevan sehingga hari ini.
Beliau turut berharap pembukaan latihan tahunan tahun ini akan terus memperkukuh dan memartabat askar wataniah di Negeri Melaka.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

