Sorting by

×

MELAKA BERKEMBANG PESAT SEBAGAI HAB HALAL DUNIA

Masa Membaca:1 Minit, 34 Saat

SERKAM 22 September – Melaka dipuji sebagai antara negeri yang sedang berkembang pesat menjadi hab halal dunia oleh Kementerian Kewangan (MOF).

Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying berkata, perkembangan industri halal di Melaka bukan sahaja membabitkan makanan dan minuman, bahkan ia turut diperluaskan dalam bidang pelancongan, farmaseutikal, kosmetik, logistik, fesyen dan kewangan Islam.

Tambahnya, atas faktor itu, Melaka dilihat sebagai sebuah negeri yang amat berpotensi menerajui industri halal yang kini mempunyai pasaran global yang amat besar.

“Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) telah memberikan hala tuju jelas mengekalkan Malaysia sebagai peneraju industri halal global dan antara sasaran utama yang digariskan adalah meningkatkan eksport halal negara kepada RM80 bilion menjelang 2030, selain peningkatan sumbangan industri halal kepada 11 peratus dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

“Selain itu, Malaysia juga akan menubuhkan Suruhanjaya Halal tunggal untuk menyelaras pameran dan pensijilan halal lebih cekap.

“Pada masa sama, memperkukuhkan taman perindustrian halal, termasuk di Melaka (Melaka Halal Hub Sdn Bhd) bagi membuka peluang syarikat berkembang dalam ekosistem ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Jelajah Belanjawan 2026 Oleh Kementerian Kewangan di Melaka Halal Hub, di sini, baru-baru ini.

Hadir sama, Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri Allex Seah Shoo Chin bersama Timbalannya, Tuminah Kadi @ Mohd Hashim; Pengurus Perancangan Perindustrian Perbadanan Melaka (MCORP), Hairulzamani Othman serta lain-lain kenamaan.

Menurut Hui Ying, sesi jelajah itu diadakan sejajar dengan hala tuju RMK13, selain menjadi kesinambungan sesi libat urus terdahulu yang menumpukan kepada input terus ke akar umbi bagi membolehkan kerajaan merangka dasar yang lebih inklusif, responsif dan berpaksikan kepada keperluan sebenar rakyat.

“Melalui sesi libat urus ini, kerajaan menyasarkan beberapa hasil utama, antaranya mendapatkan maklumat strategik terus daripada pihak berkepentingan tempatan, meningkatkan koordinasi rentas negeri bagi merapatkan jurang pembangunan wilayah, memperkasa ekonomi wilayah melalui sokongan fiskal bersasar serta memperkukuh keyakinan rakyat serta komuniti perniagaan,” tambahnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

927
Kongsi :
Previous post IKON PELAJAR CEMERLANG STAM 2024 MELAKA BAWA HARAPAN KELUARGA DI MESIR
Next post PENDUDUK LEGA, LONGKANG MONSUN MBMB BERKESAN ATASI BANJIR