
MELAKA BERUPAYA JADI HAB PENGELUARAN KERETA EV
ALOR GAJAH 10 Mac – Melaka berpotensi menjadi hab pengeluaran kenderaan elektrik (EV) di negara ini selari dengan peningkatan jumlah permintaan terhadap teknologi mobiliti hijau.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf berkata, perkembangan itu dapat dilihat apabila pemasangan kereta elektrik secara completely knocked down (CKD) mula dilaksanakan di negeri ini, sekali gus mencipta sejarah baharu dalam industri automotif Melaka.
Menurutnya, kemampuan tenaga kerja tempatan serta kemudahan industri sedia ada membuktikan Melaka berupaya menyokong pembangunan teknologi baharu termasuk pengeluaran kenderaan elektrik.
“Melaka mencipta sejarah dengan pemasangan kereta CKD pertama yang dikeluarkan di negeri ini iaitu model MGS5 EV yang menggunakan teknologi elektrik sepenuhnya.
“Ini menunjukkan keupayaan sumber manusia serta ekosistem industri di Melaka yang mampu menzahirkan teknologi baharu sekali gus membuka potensi negeri ini sebagai hab pengeluaran kenderaan EV,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian MGS5 SKD Line-Off di EP Manufacturing Berhad HICOM Pegoh, di sini, hari ini.
Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; Exco Belia, Sukan dan NGO negeri Datuk VP Shanmugam; Pegawai Kewangan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh; Yang Dipertua Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) Datuk TPr. Saifuddin Abdul Karim serta kenamaan lain.
Tambah beliau, berdasarkan rekod Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), sebanyak 44,000 kenderaan elektrik didaftarkan pada tahun 2025 berbanding hanya 21,789 pada tahun 2024.
Menurutnya, peningkatan itu selari dengan usaha kerajaan menggalakkan penggunaan mobiliti hijau dan pengurangan karbon selain membuka peluang kepada Melaka untuk memainkan peranan lebih besar dalam sektor teknologi hijau.
“Justeru itu, saya berharap pembangunan projek ‘Melaka Inland Port’ yang dijangka dilancarkan minggu depan mampu menjadi pemangkin kepada pertumbuhan industri automotif dan logistik di negeri ini,” katanya
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

