
MELAKA BILA LARUT MALAM 2.0 LEBIH SEGAR, BERIMPAK
BANDA HILIR 6 Disember – Melaka bakal memperkenalkan Program Bila Larut Malam Versi 2.0 tahun depan, kata Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.
Beliau berkata, konsep baharu itu bakal menjadi pembuka tirai Tahun Melawat Melaka 2.0, di mana ia bukan sekadar sebuah program malam minggu tetapi juga menjadi platform memartabatkan seni, budaya dan identiti Melaka melalui pendekatan yang lebih segar dan berimpak.
“Siapa yang datang pada Program Bila Larut Malam Versi 2.0 sepanjang tahun 2026 dengan berpakaian tradisional seperti kebaya nyonya atau pakaian warisan akan diberikan kemasukan percuma ke semua tempat pelancongan.
“Kita ingin membudayakan Melaka sebagai negeri seni dan warisan, kita tidak hanya mempromosikan Melaka pada nama tetapi untuk rakyat Melaka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Neon Walk 5.0 Sempena Melaka Bila Larut Malam Edisi Disember 2025 di perkarangan Stadthuys, di sini, malam tadi.
Hadir sama, Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Datuk Shadan Othman serta lain-lain kenamaan.
Menurut Ab Rauf, Bila Larut Malam edisi 2.0 dijangka menyemarakkan lagi hiburan malam di Banda Hilir dengan tarikan seperti persembahan budaya, aktiviti interaktif, jualan serta limpahan pengunjung.
“Produk pelancongan seperti beca, Melaka River Cruise, kedai makan dan hotel-hotel akan dilimpahi dengan ribuan pelancong dan pengunjung yang datang ke Melaka,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

