Sorting by

×

MELAKA BILA LARUT MALAM ‘MAGNET’ PELANCONGAN

Masa Membaca:1 Minit, 45 Saat

TELOK MAS 5 April – Program Melaka Bila Larut Malam terus mendapat sambutan hebat apabila secara purata merekodkan kehadiran lebih 10,000 pengunjung, termasuk pada edisi April 2026.

Program itu merupakan inisiatif pertama seumpamanya diilhamkan di negara ini dalam usaha menghidupkan suasana malam di kawasan pelancongan.

Menerusi inisiatif itu, pengunjung dan pelancong dapat menikmati produk pelancongan terpilih seperti Melaka River Cruise, Menara Taming Sari, muzium-muzium di bawah Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) serta Zoo Melaka pada harga RM10 sahaja.

Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman berkata, impak program itu amat dirasai bukan sahaja kepada produk pelancongan yang mengambil bahagian, bahkan tempiasnya turut dinikmati peniaga dan penggiat pelancongan di sekitar Banda Hilir.

“Melaka Bila Larut Malam ini bukan sahaja merancakkan ekonomi setempat, malah menjadi antara daya penarik untuk pelancong ke negeri ini,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Melaka Sayang Rakyat DUN Telok Mas di Padang Bola Taman Seri Telok Mas, di sini, semalam.

IMG 20260405 032937
TUN Dr. Mohd Ali bersama isteri diiringi Abdul Razak menyantuni pengunjung Rumah Terbuka Aidilfitri Melaka Sayang Rakyat DUN Telok Mas di Padang Bola Taman Seri Telok Mas. Foto Iqmal Haqim Rosman

Terdahulu, majlis berkenaan diserikan dengan kehadirian Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam bersama isteri Toh Puan Datuk Wira Dr. Asmah Abd Rahman.

Ia turut dimeriahkan dengan kehadiran Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh bersama isteri Datin Seri Utama Datuk Wira Zuriyah Ab Aziz; Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri serta kenamaan lain.

Abdul Razak yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Telok Mas berkata, kebanjiran pengunjung dan pelancong yang konsisten setiap kali Melaka Bila Larut Malam yang diadakan pada Sabtu pertama setiap bulan membuktikan inisiatif itu sentiasa mendapat tempat di hati pelancong.

“Sudah pasti program ini akan kita teruskan kerana impaknya jelas ketara dalam memajukan lagi sektor pelancongan Melaka,” tambahnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

389
Kongsi :
Previous post MELAKA BUAT RONDAAN PASTIKAN TIADA KENAIKAN MELAMPAU HARGA BARANG
Next post DUN AYER LIMAU FOKUS RUMAH MAMPU MILIK, BAWAH RM250,000