Sorting by

×

MELAKA BILA LARUT MALAM TERUS PIKAT PELANCONG

Masa Membaca:1 Minit, 56 Saat

BANDARAYA MELAKA 6 Oktober – Program Melaka Bila Larut Malam kini sudah sinonim buat kalangan pelancong dari dalam serta luar Negeri Melaka sehinggakan ada yang sanggup menetapkan minggu pertama setiap bulan untuk datang ke negeri ini bagi menikmati tawaran kemasukan ke produk pelancongan pada harga RM10 sahaja.

Antara produk pelancongan yang menawarkan tarikan tersebut adalah Melaka River Cruise, Menara Taming Sari, Zoo Melaka dan muzium di bawah Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM).

Bagi pelancong tempatan, Ahmad Faiz Aziz, 35 berkata, program Melaka Bila Larut Malam benar-benar memberi penjimatan kepada rakyat Melaka dan orang eamai untuk menikmati produk pelancongan harga mampu milik.

“Kalau kita bandingkan dengan harga asal, memang jauh perbezaannya, contohnya seperti Malaysia Heritage Studio dan Melaka River Cruise, di mana harga asalnya mungkin sedikit membebankan untuk seisi keluarga.

“Namun, dengan adanya program Melaka Bila Larut Malam, saya sekeluarga berpeluang menikmati keindahan Sungai Melaka menerusi bot Melaka River Cruise dengan harga tiket yang amat berpatutan,” katanya kepada Melaka Hari Ini ketika ditemui di Jeti Taman Rempah, di sini, pada Sabtu.

Img 20251006 010251 497
ANTARA pelancong yang menikmati tarikan Melaka Bila Larut Malam. Foto Iqmal Haqim Rosman

Nur Hazirah Samsudin, 35, pula memaklumkan, program Melaka Bila Larut Malam memang amat dinantikan olehnya sekeluarga, terutamanya Melaka River Cruise yang menawarkan harga tiket RM10.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Negeri Melaka terutamanya ‘Tok Rauf’ (Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh) kerana menganjurkan program sebegini dan saya percaya ia bukan sekadar membantu warga marhaen seperti kami, tetapi juga kepada para peniaga kecil amnya.

“Kalau boleh, program sebegini diteruskan pada tahun mendatang kerana program sebegini benar-benar membantu keluarga saya untuk terus menyokong industri pelancongan Melaka khususnya,” katanya.

Pelancong dari Selangor, Muhammad Shazrul Shazwan Mazlan, 29 pula berpandangan idea untuk merancakkan sektor pelancongan itu sebagai ‘luar biasa’ kerana tawaran tersebut merangkumi beberapa kawasan utama pelancongan Melaka termasuk Melaka River Cruise.

“Pada awalnya saya menganggap, mungkin tawaran ini hanya libatkan kawasan pelancongan yang tidak popular, tetapi jangkaan saya meleset kerana program ini merangkumi beberapa kawasan utama pelancongan negeri dengan penawaran harga tiket kemasukan hanya RM10.

“Ternyata, Melaka memang lain dari yang lain. Walaupun tawaran program ini hanya terpakai pada setiap hari minggu pertama setiap bulan, tetapi ia amat berbaloi untuk seisi keluarga,” ujarnya.

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

476
Kongsi :
Previous post 758 PESAKIT MENTAL TERIMA RAWATAN DI MELAKA
Next post TEKANAN HIDUP, MASALAH KELUARGA ANTARA PUNCA UTAMA GANGGUAN MENTAL