Sorting by

×

MELAKA BUAT RONDAAN PASTIKAN TIADA KENAIKAN MELAMPAU HARGA BARANG

Masa Membaca:1 Minit, 12 Saat

KESIDANG 5 April – Kerajaan Negeri akan memperhebat pemantauan dan rondaan secara harian bagi memastikan harga barangan kekal terkawal meskipun dunia berdepan ketidaktentutan global susulan krisis di Asia Barat yang dijangka berlarutan.

Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri Allex Seah Shoo Chin berkata, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) negeri akan memastikan harga barangan sentiasa terkawal di negeri ini menerusi pemantauan berterusan.

Katanya, rondaan di seluruh negeri ini meliputi kesemua tiga daerah iaitu Alor Gajah, Melaka Tengah dan Jasin bagi memastikan tiada kenaikan harga melampau.

“Pelaksanaan skim subsidi seperti Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) dan subsidi petrol oleh kerajaan sehingga kini diyakini masih membantu menstabilkan kos pengangkutan serta bekalan makanan.

“Setakat ini tiada rekod mana-mana peniaga yang dikesan menaikkan harga melampau berikutan krisis ekonomi yang berlaku ketika ini dan di Melaka semuanya masih terkawal,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini ketika ditemui pada Majlis Jamuan Aidilfitri Dewan Undangan Negeri (DUN) Kesidang Melaka Sayang Rakyat di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Malim, di sini, semalam.

Allex yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kesidang turut memaklumkan bahawa bekalan minyak dan bahan mentah di negeri ini mencukupi dan terkawal.

“Setakat ini bekalan termasuk minyak adalah mencukupi dan terkawal, malah Malaysia berada dalam keadaan lebih stabil berbanding beberapa negara lain.

“Saya juga berharap isu global dapat diselesaikan segera bagi memastikan kestabilan ekonomi dan kesejahteraan rakyat terus terjamin,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

436
Kongsi :
Previous post ASAHAN DI BAWAH YB ALONG SUDAH BANYAK BERUBAH
Next post MELAKA BILA LARUT MALAM ‘MAGNET’ PELANCONGAN