Sorting by

×

MELAKA BUKA PELUANG ANAK NELAYAN CEBURI BIDANG SELAM SKUBA

Masa Membaca:1 Minit, 9 Saat

SERI NEGERI 10 Disember – Kerajaan Negeri membuka ruang dan peluang kepada anak-anak nelayan di negeri ini menceburi bidang selam skuba.

Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, kursus dan latihan disediakan untuk anak-anak nelayan menceburi bidang berkenaan dalam membantu mereka menambah pendapatan.

Menurut beliau, bidang itu membuka potensi kerjaya besar untuk anak-anak nelayan ini bergelar jurulatih selam profesional kepada pelancong, khususnya di Taman Laut Melaka.

“Setakat ini, kita sudah menerima 10 permohonan daripada anak-anak nelayan yang berminat, di mana kita akan membantu mereka dengan memberikan latihan dan peralatan.

“Ini merupakan antara usaha dilakukan Kerajaan Negeri dalam membantu nelayan supaya mereka mempunyai sumber pendapatan lain selain bergantung sepenuhnya kepada hasil perikanan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Dr. Mohd Aleef Yusof (PN-Sungai Udang) pada Persidangan Ketiga (Bajet) Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Melaka Kelima Belas, di sini, hari ini.

Menurut Dr. Muhamad Akmal, pelbagai lagi bentuk bantuan lain disediakan untuk nelayan, termasuklah melabuhkan tukun tiruan dan unjam yang bersifat sebagai rumah ikan untuk membantu nelayan meningkatkan hasil tangkapan.

Jelas beliau, sejak 2008 hingga 2024, sebanyak 78 tukun tiruan telah dilabuhkan di perairan Melaka membabitkan kos berjumlah RM1.5 juta.

“Alhamdulillah, berdasarkan maklum balas yang kita terima, selepas unjam dan tukun dilabuhkan, hasil tangkapan nelayan menunjukkan impak positif,” ujarnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

197
Kongsi :
Previous post PERUNTUKAN TERBESAR BAJET BAGI PEMBANGUNAN SUKAN, BELIA MELAKA
Next post MELAKA MEMILIH UNTUK BEKERJA, BUKAN BERBALAS SENTIMEN – KM