
MELAKA CADANG GUBAL ENAKMEN HAIWAN BERKELIARAN, TINDAKAN LEBIH TEGAS
SERI NEGERI 22 Julai – Kerajaan Negeri bercadang untuk menggubal enakmen berkaitan haiwan berkeliaran bagi membolehkan tindakan lebih tegas dikenakan terhadap penternak atau pemilik yang tidak bertanggungjawab.
Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, usaha itu bukan sekadar undang-undang, sebaliknya simbolik kepada iltizam dalam melindungi nyawa rakyat dan memperkukuhkan sektor penternakan.
“Pada persidangan yang seterusnya kita akan membuat satu usul untuk menggubal enakmen bagi cadangan Enakmen Haiwan Berkeliaran Negeri Melaka.
“Kerajaan Negeri tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu atau pihak yang cuai dan mengabaikan keselamatan awam, untuk itu kita akan menggubal dasar, undang-undang yang progresif, tegas serta berimpak.
“Bukan soal menghukum, tetapi hukuman berat memberikan tanggungjawab yang lebih besar selain memberi kuasa lebih besar kepada penguatkuasa dengan hukuman lebih tegas,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Datuk Khaidhirah Abu Zahar (BN-RIM) mengenai pelaksanaan teknologi kod QR atau sistem pengenalan digital haiwan ternakan pada Persidangan Kedua Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Yang Kelima Belas di Seri Negeri, di sini, hari ini.
Dr. Muhamad Kamal berkata, berkuatkuasa pada September depan Kerajaan Negeri juga akan mewajibkan pemasangan tanda pengenalan fizikal (tagging) pada telinga haiwan ternakan iaitu lembu dan kerbau.
“Perkara ini akan dibawa ke Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) pada Ogos sebelum dilaksanakan, sekiranya haiwan berkeliaran dan tiada ‘tagging’ kita anggap sebagai berkeliaran atau terbiar,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.