Sorting by

×

MELAKA CATAT LONJAKAN PENDAPATAN LUAR BIASA

Masa Membaca:2 Minit, 7 Saat

BANDA HILIR 12 Disember – Prestasi kewangan Melaka terus menunjukkan perkembangan memberangsangkan apabila merekodkan peningkatan pendapatan luar biasa sebanyak 21 peratus.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, peningkatan peratusan itu dilihat daripada RM91.8 juta kepada RM110.7 juta berdasarkan pelaporan kewangan beraudit tahun 2023 dan 2024.

“Lonjakan prestasi ini turut diterjemah melalui pelaksanaan dasar sumbangan dua peratus keatas nilai jualan dan 10 peratus dari keuntungan projek-projek usaha sama.

“Ia termasuk dividen serta pelbagai pulangan lain yang secara keseluruhannya berjaya menjana RM22.8 juta bagi tempoh dua tahun 2024/2025 kepada stakeholder dan shareholder di dalam agensi dan anak-anak syarikat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam ‘The Corporate Gala Night 2025’ di sebuah hotel, di sini, malam tadi.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; barisan Exco Kerajaan Negeri; Timbalan Exco Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan TVET negeri, Datuk Khaidhirah Abu Zahar; Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Wira Salhah Salleh serta Ketua Agensi dan Anak Syarikat Kerajaan Negeri.

Ketua Menteri berkata, kejayaan itu tidak berlaku secara kebetulan sebaliknya hasil daripada pengukuhan tadbir urus, kecekapan pengurusan kewangan serta komitmen berterusan seluruh agensi dan anak syarikat.

“Ini bagi memastikan hala tuju ekonomi negeri kekal berada di landasan yang kukuh.

“Malah Melaka terus melangkah gagah dengan ekosistem pengurusan dan pembangunan ekonomi yang semakin dinamik selain disokong oleh kekuatan 13 buah Agensi Kerajaan Negeri, 46 buah Anak Syarikat Aktif serta empat Syarikat Menurut Jaminan (CLBG),” katanya.

Menurut beliau, lima buah syarikat antaranya Melaka Hari Ini Sdn Bhd dan MCORP Hotel telah berjaya dikeluarkan daripada kategori ICU dan hanya berbaki tujuh syarikat sahaja yang masih perlu diberi perhatian sewajarnya untuk menjalani proses pemulihan.

Pada masa sama, Ab Rauf turut menzahirkan harapan agar seluruh warga korporat negeri terus berkarya ke arah melakarkan pencapaian dan prestasi cemerlang, sekali gus menyumbang secara langsung kepada sasaran hasil negeri sebanyak RM10 bilion menjelang 2030.

Terdahulu pada majlis itu, Melaka ICT Holdings Sdn Bhd (MICTH) diumumkan sebagai penerima Business Excellence Award manakala lima agensi termasuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC) menerima Top Performers Award.

Anugerah itu diberikan kepada Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB), Lembaga Tabung Amanah Melaka (LTAM), MICTH, Perbadanan Ketua Menteri Melaka (CMI) dan Perbadanan Pembangunan Sungai Dan Pantai Melaka (PPSPM).

Manakala bagi Anugerah Top Contributors Award pula, dianugerahkan kepada LTAM, Lembaga Perumahan Melaka (LPM), MICTH, Perbadanan Melaka dan SAMB.

Sementara itu, Melaka Hari Ini Sdn Bhd diumumkan antara lima syarikat dan penerima anugerah Business Turnaround Archievement Award selepas menunjukkan peningkatan prestasi dan berjaya dikeluarkan daripada kategori ICU.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

427
Kongsi :
Previous post MELAKA BAKAL PERKENAL GARIS PANDUAN PERKASA TADBIR URUS, PENGURUSAN KEWANGAN
Next post HIV: MELAKA PERLUAS KLINIK ‘MESRA STI’ DI SETIAP DAERAH