
MELAKA-CHONGQING TEROKA POTENSI KERJASAMA PENGURUSAN BANDAR MAMPAN
AYER KEROH 23 Januari – Melaka terus memperkukuh hubungan strategik dan kepakaran bersama rakan antarabangsa menerusi lawatan kerja teknikal ke Bandar Chongqing, Republik Rakyat China.
Lawatan delegasi Kerajaan Negeri itu diketuai Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh bersama Jawatankuasa Kumpulan Wang Amanah Sumbangan Saliran (KWASS) Negeri Melaka.
Sebaik tiba di Bandar Chongqing, Ketua Menteri berkesempatan mengadakan pertemuan dua hala bersama Timbalan Ketua Pengarah, Pejabat Hubungan Luar Negara Chongqing, Feng Zimin.
Ab Rauf berkata, pertamuan itu, antara lain menjadi medan meneroka potensi kerjasama khususnya dalam bidang infrastruktur, pengurusan bandar dan pembangunan mampan.
“Lawatan ini bukan sekadar medan bertukar pandangan, malah turut menjadi pemangkin kepada lembaran baharu kerjasama strategik antara Kerajaan Negeri Melaka dan Kerajaan Bandar Chongqing.
“Semua ini demi manfaat bersama dan pembangunan yang lebih progresif pada masa hadapan,” katanya dalam satu kenyataan di laman Facebook rasmi beliau.
Lawatan kerja teknikal itu turut disertai Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer; Penasihat Khas Pelaburan dan Hal Ehwal Negara China kepada Ketua Menteri Datuk Wira Lim Ban Hong; Pegawai Kewangan Negeri Melaka Datuk Wira Salhah Salleh serta wakil Pejabat Jeneral Konsulat Malaysia di Kunming.
Dalam pada itu, Ketua Menteri turut berharap lawatan kerja teknikal itu dapat memperkukuh hubungan persahabatan Melaka dan China, seiring aspirasi Melaka untuk melangkah lebih jauh di pentas global.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

