
MELAKA CIPTA REKOD PENGUNJUNG TERAMAI DALAM SEJARAH PMR 2025 – PM
MERLIMAU 19 Oktober – Melaka sekali lagi melakar sejarah apabila merekodkan jumlah kehadiran pengunjung paling ramai sepanjang tujuh edisi Program MADANI Rakyat (PMR) 2025.
Perkara itu diumumkan sendiri Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Majlis Perasmian Penutup PMR 2025 Melaka di Politeknik Merlimau, di sini, hari ini.
Perdana Menteri berkata, walaupun Melaka sebuah negeri yang kecil, namun keupayaan bumi bersejarah ini tiada bandingnya kerana seringkali berupaya menarik kehadiran orang ramai dalam apa jua acara.
“Sebab itulah, satu-satunya negeri yang saya singgung secara khusus dalam Belanjawan 2026 adalah Melaka.
“Ini berkait dengan kejayaan penganjuran World Tourism Day (WTD) dan keupayaan negeri ini dalam menyemarak sektor pelancongan.
“Dan..kali ini, tahniah sekali lagi Melaka kerana inilah edisi yang paling ramai (pengunjung) dalam sejarah PMR2025,” katanya ketika berucap merasmikan penutup PMR 2025 Melaka.
Hadir sama, Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh; Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar serta barisan kepimpinan persekutuan dan negeri.
Untuk rekod, setakat jam 11 pagi tadi, seramai 204,834 pengunjung telah direkodkan sejak PMR 2025 Melaka berlangsung pada Jumaat (17 Oktober 2025).
Bertemakan Aspirasi MADANI, Menjamin Pertahanan dan Kedaulatan Negara, pelbagai pengisian menarik ditawarkan kepada pengunjung, antaranya, pameran dan pertunjukan aset ketenteraan; ‘petting zoo’, Pentas Selera Negeri Melaka, sukan rakyat, jualan RAHMAH serta macam-macam lagi.
Malah, pengunjung juga dapat menikmati pelbagai faedah istimewa, antaranya kaunter pembayaran saman dengan pengurangan kadar kompaun sehingga 50 peratus, pertukaran topi keledar percuma, Karnival Kerjaya, serta perkhidmatan bergerak daripada pelbagai kementerian dan agensi berkaitan.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.