
MELAKA DESTINASI UTAMA PELANCONGAN PERUBATAN, JADI PILIHAN PASARAN INDONESIA
KOTA LAKSAMANA 2 Januari – Melaka menjadi antara destinasi utama pelancongan perubatan negara, khususnya bagi pasaran Indonesia yang dikenal pasti sebagai pasaran strategik.
Pengarah Bahagian Pentadbiran Tourism Malaysia Amirul Ariffin Md Nasir berkata, pihaknya sentiasa bergabung tenaga dengan pelbagai pihak bagi mempromosikan perkhidmatan pelancongan perubatan di negeri ini.
“Di bawah Program Flagship Medical Tourism Hospital, beberapa hospital di Melaka turut tersenarai sebagai hospital pilihan sekali gus memperkukuh keyakinan pelancong asing terhadap kualiti perkhidmatan perubatan ditawarkan.
“Hospital-hospital di Melaka menjadi antara keutamaan dalam segmen pelancongan perubatan, khususnya bagi kategori saringan, pemeriksaan kesihatan dan rawatan yang ditawarkan oleh penyedia perkhidmatan perubatan pelancongan di negeri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyambut ketibaan pelawat antarabangsa bersempena pelancaran rasmi kempen Visit Malaysia 2026 (VM2026) di Kompleks ICQS Terminal Feri Antarabangsa Melaka, di sini, semalam.
Mengulas lanjut, Amirul berkata, Malaysia turut disenaraikan antara 10 destinasi pilihan utama dunia oleh platform antarabangsa ‘Nomad Capitalist’ sekali gus mengukuhkan lagi reputasi negara sebagai hab pelancongan perubatan global.
“Selain itu, laporan terbaharu oleh ‘Philip Capital’ juga menyatakan harga perkhidmatan perubatan yang kompetitif di Malaysia menjadi faktor utama negara ini terus menjadi pilihan pelancong luar untuk mendapatkan rawatan kesihatan.
“Dalam keadaan ekonomi negara jiran yang semakin pulih, kita yakin ia mampu menarik lebih ramai pelancong khususnya dari Indonesia untuk datang ke Malaysia dan Melaka sebagai destinasi pilihan bagi mendapatkan rawatan perubatan.
“Hospital-hospital di Melaka kini semakin mendapat tempat dalam kalangan pelancong Indonesia kerana faktor jarak yang dekat, kos berpatutan serta perkhidmatan berkualiti,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


