Sorting by

×

MELAKA DIBERI KEPERCAYAAN ANJUR ACARA BERTARAF DUNIA – EXCO

Masa Membaca:1 Minit, 34 Saat

BANDA HILIR 28 September – Melaka terus diberi kepercayaan untuk menganjurkan acara bertaraf dunia, sekali gus mengukuhkan kedudukan negeri ini sebagai destinasi pelancongan terkemuka dunia.

Acara itu termasuk sambutan Hari Pelancongan Sedunia (WTD) dan Persidangan Pelancongan Dunia (WTC) 2025 serta pelancaran Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM 2026).

Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman, berkata penganjuran dua acara berprestij itu merupakan pengiktirafan besar kepada Melaka.

“Alhamdulillah, kita berjaya melaksanakan majlis perasmian WTD dan WTC 2025.

“Kita juga melakar sejarah baharu apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melancarkan VM 2026 di Melaka dan ia cukup membanggakan bukan sahaja bagi negeri ini, tetapi juga negara,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Persidangan Pelancongan Sedunia (WTC) 2025 yang disempurnakan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh di sebuah hotel di sini, hari ini.

Hadir sama, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing; Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Azhar Arshad; serta Timbalan Ketua Setiausaha Pelancongan MOTAC, Chua Choon Hwa.

Turut hadir, Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin serta barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri.

Abdul Razak berkata, kepercayaan ini hasil komitmen berterusan Kerajaan Negeri dalam memastikan setiap acara yang dianjurkan mencapai standard antarabangsa dan memberikan impak positif kepada sektor pelancongan serta ekonomi setempat.

“Ini bukti bahawa Melaka mempunyai keupayaan dan rekod penganjuran yang diyakini.

“Ia tidak mungkin tercapai tanpa kerjasama erat Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) serta pelbagai agensi kerajaan dan pihak berkepentingan,” katanya.

Menurutnya, sambutan luar biasa pada pelancaran VM 2026 malam tadi membuktikan perancangan yang teliti oleh Kerajaan Negeri berjaya menarik perhatian pelancong dan masyarakat.

“Saya yakin rakyat dapat menilai usaha dan pencapaian ini. Alhamdulillah, segalanya berjalan lancar seperti yang dirancang,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

563
Kongsi :
Previous post SEMANGAT PERPADUAN BUKTI MALAYSIA MAMPU ANJUR PROGRAM BERTARAF DUNIA
Next post KERAJAAN NEGERI SEDANG MENGKAJI SISTEM PELAYARAN HOP-ON-HOP-OFF