
MELAKA FC INTAI MATA PERTAMA DI LAMAN SENDIRI
AYER KEROH 8 Ogos – Melaka FC mengintai peluang mencipta kejutan dalam aksi pertama menentang Penang FC di tempat sendiri, minggu hadapan.
Ketua Jurulatih Melaka FC K Devan berkata, bagi menghadapi perlawanan musim ini pasukannya sudah membuat persiapan sejak Jun termasuk telah melalui lapan perlawanan persahabatan.
“Kita ada masa seminggu lagi untuk perlawanan pertama menentang Penang FC di tempat sendiri dengan masa yang ada saya harap dapat menyediakan pasukan terbaik untuk perlawanan itu.
“Untuk menentang Penang FC nanti kita lihat ada peluang mengutip mata di tempat sendiri malah saya rasa persiapan Melaka FC dari semasa ke semasa bertambah baik termasuk dengan kehadiran pemain import.
“Kita ketika ini juga dalam fasa persiapan kumpulan termasuk adaptasi taktikal dan juga posisi pemain, selain apa yang saya tekankan dalam kalangan pemain adalah stamina,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Jersi Dan Memperkenalkan Pemain Melaka FC Musim 2025/2026 yang disempurnakan Yang di-Pertua Negeri Melaka Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam, pada Rabu.
Hadir sama, Exco Belia, Sukan dan NGO Negeri Datuk VP. Shanmugam dan Pemilik Kelab Melaka FC Datuk Wira Nur Azmi Ahmad.
Meskipun dikenali sebagai pendatang baharu berstatus ‘underdog’, Devan percaya skuad kendaliannya akan memberikan aksi terbaik sepanjang musim ini selain mampu mencipta kejutan.
“Sudah pasti banyak pasukan berpengalaman dalam Liga Super ini selain daripada JDT, Sabah FC dan Selangor FC dan kita pula sebagai pendatang baharu.
“Untuk musim ini boleh katakan kita kekalkan antara 45 hingga 50 peratus pemain dari Liga A1 selain sembilan pemain baharu tempatan dan tujuh pemain import,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.