Sorting by

×

MELAKA FC MASIH MENCARI RENTAK

Masa Membaca:1 Minit, 55 Saat

MELAKA, 13 Ogos – Melaka FC masih mencari rentak selepas aksi pertama Liga Super 2025-2026 berakhir dengan keputusan seri 1-1 menentang Penang FC di Stadium Hang Jebat, Krubong di sini malam tadi.

Ketua jurulatih K. Devan mengakui import yang dibawa masuk pasukan itu memerlukan masa untuk membina keserasian bersama skuad yang baharu dibentuk sepenuhnya musim ini.

Beliau berkata aksi babak pertama kurang agresif, terlalu banyak ruang diberikan kepada Penang FC untuk menyerang, selain beberapa peluang lawan terhasil akibat kelemahan bertahan selain serangan balas yang kurang sempurna.

“Separuh masa pertama saya lihat pasukan ini boleh bermain lebih baik, namun kita kurang agresif, banyak beri ruang kepada Penang FC dan keserasian pemain juga masih kurang, selain kita berdepan masalah komunikasi dengan pemain dari Brazil.

“Bagi saya, pengalaman juga menjadi faktor kerana kesemua pemain import kali pertama beraksi dalam Liga Super berbanding lawan yang sudah berpengalaman, malah pemain tempatan juga kebanyakan datang daripada Liga A1,” katanya pada sidang media selepas perlawanan.

Pasukan pelawat mendahului permainan pada minit ke-28 menerusi tandukan gol oleh Dylan Christopher Charles Wenzek Halls sebelum penyerang import dari Brazil, Juan Douglas Teles Da Silva berjaya menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-69 untuk Melaka mengikat Penang 1-1.

Mengulas lanjut, Devan berkata pada perlawanan itu Melaka FC masih tiada seorang ‘leader’ di padang, dan berharap masalah itu dapat diselesaikannya segera.

Pengendali berusia 64 tahun itu berkata walaupun jurang prestasi dilihat semakin baik pada separuh masa kedua, namun melihat skuad bimbingannya perlu meningkatkan keyakinan, mengadaptasi taktikal dan keberanian untuk menang.

“Mereka hanya bersama kurang sebulan dan pada hujung minggu ini kita akan bertemu kembali dengan Penang FC untuk saingan Piala FA dan kita kena menang di tempat sendiri.

“Sudah pasti corak permainan akan berbeza berbanding liga … kalau mahu teruskan perjuangan, kita perlu menang dan manfaatkan kelebihan bermain di tempat sendiri sebaik mungkin,” katanya.

Sementara itu, Ketua Jurulatih Penang FC Wan Rohaimi Wan Ismail mengakui corak permainan pasukannya semakin baik, namun masih ada kelemahan yang perlu segera diatasi.

“Banyak perkara perlu diperbaiki walaupun ini baharu perlawanan kedua. Kami perlukan kemenangan pertama sama ada pada Liga Super atau Piala FA untuk beri lonjakan kepada pasukan” katanya.

Kedua-dua pasukan akan kembali bertemu di Stadium Hang Jebat, Ahad ini bagi aksi pusingan ke-16 Piala FA. – BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

531
Kongsi :
Previous post PENUTUPAN JALAN SEMPENA WTD 2025 AKAN DIMAKLUM LEBIH AWAL
Next post MBMB IKTIRAF SUMBANGAN PENGAMAL MEDIA, KOMUNITI