Sorting by

×

MELAKA GALAK KERJASAMA SWASTA BANGUNKAN FASILITI SUKAN

Masa Membaca:1 Minit, 38 Saat

SERI NEGERI 22 Julai – Kerajaan Negeri sentiasa terbuka bagi menjalinkan kerjasama strategik dengan pihak swasta dalam usaha membangunkan kemudahan sukan di Melaka.

Exco Belia, Sukan dan NGO negeri, Datuk VP Shanmugam, berkata Majlis Sukan Negeri Melaka (MSNM) sedia menerima penajaan daripada mana-mana syarikat swasta berminat menaja atau menyelenggara fasiliti sukan milik Kerajaan Negeri.

“Antara fasiliti boleh ditaja atau diselenggara pihak swasta seperti Dewan Badminton MSNM Melaka, Dewan Gimnastik Melaka, Pusat Latihan Angkat Berat, Gelanggang Lawn Bowls Krubong, Gelanggang Petanque Hang Jebat (Paya Rumput) dan Dewan Serbaguna Ayer Leleh.

“Kerjasama ini bukan sahaja dapat mengurangkan kebergantungan kepada kerajaan, tetapi membantu membaik pulih kemudahan sedia ada untuk kegunaan masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Zahari Abd Kalil (BN-Durian Tunggal) mengenai kerjasama Kerajaan Negeri dan pihak swasta pada hari kedua Persidangan Kedua Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Kelima Belas di Seri Negeri, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata setiap DUN digalakkan bekerjasama dengan MSNM bagi mengenal pasti syarikat yang berpotensi menyumbang, menaja atau menyelenggara fasiliti sukan di kawasan masing-masing.

“Syarikat yang menyumbang melalui MSNM layak menerima pengecualian cukai, satu insentif yang membantu menarik minat sektor korporat untuk terlibat secara aktif dalam pembangunan sukan negeri.

“Kini, beberapa persatuan sukan di Melaka seperti wushu, muaythai, hoki, skuasy dan badminton telah menerima sumbangan pihak swasta, sekali gus melayakkan pihak berkenaan menikmati manfaat pengecualian cukai.

“MSNM juga bekerjasama dengan Kolej Universiti Manipal bagi menyediakan perkhidmatan rehabilitasi atlet pada kadar yang berpatutan,” katanya.

Shammugam berkata, Kerajaan Negeri amat serius dalam membangunkan sektor sukan secara menyeluruh, namun tanggungjawab ini tidak boleh dipikul kerajaan semata-mata.

“Kita perlukan ekosistem pembangunan sukan yang lengkap dan melibatkan pelbagai pihak, termasuk NGO dan sektor swasta seperti diamalkan di peringkat antarabangsa.

“Bagaimanapun, kita akui bahawa cabaran utama dalam menjalin kerjasama sektor swasta ialah dari segi pulangan dan manfaat kewangan, lebih-lebih lagi dalam keadaan ekonomi global yang mencabar ketika ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

377
Kongsi :
Previous post KBS LULUS 18 PROJEK NAIK TARAF FASILITI SUKAN MELAKA
Next post KANAK-KANAK LEMAS DI KOTA SYAHBANDAR MENINGGAL DUNIA