
MELAKA HAB PELANCONGAN PERUBATAN TERKEMUKA, PINTAR DAN MAMPAN
AYER KEROH 25 Jun – Kerjasama dengan Philips, iaitu syarikat pengeluar peralatan elektrik dan elektronik bagi kegunaan perkhidmatan kesihatan bakal melonjakkan lagi Melaka sebagai hab pelancongan perubatan terkemuka, pintar dan mampan di rantau ini.
Perkara itu dikongsi Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh selepas mengadakan lawatan bersama delegasi Kerajaan Negeri Melaka ke Pusat Kecemerlangan Philips di Eindhoven, Belanda.
Ketua Menteri berkata, Kerajaan Negeri melihat potensi besar untuk menjalin kerjasama strategik dengan Philips yang mempunyai pengalaman lebih satu abad dalam teknologi kesihatan dan inovasi mampan, selain menjadi contoh unggul bagaimana kecerdasan buatan (AI) serta penyelesaian lestari boleh memperkukuh sistem penjagaan kesihatan.
“Susulan lawatan ini Kerajaan Negeri melalui Hospital Pakar Putra (PSH) komited untuk bekerjasama dengan Philips, khususnya memanfaatkan teknologi dimilikinya dalam pembekalan peralatan kesihatan.
“Melaka bukan hanya destinasi peluang, tetapi juga pemangkin destinasi pelaburan masa depan berimpak tinggi dan lestari. Semoga lawatan ini menjadi permulaan istimewa bagi membentuk kerjasama strategik antara kedua-dua pihak, sekali gus memberi manfaat serta kesejahteraan buat rakyat,” kata Ketua Menteri menerusi hantaran di Facebook rasmi beliau, hari ini.
Hadir sama pada lawatan itu adalah Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Fairul Nizam Roslan; Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Datuk Ngwe Hee Sem; Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri, Datuk Kalsom Noordin; Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Wira Salhah Salleh dan Ketua Pegawai Eksekutif PSH, Mohd Zahiruddin Ahmad.
Terdahulu kunjungan Ketua Menteri dan delegasi Kerajaan Negeri Melaka disambut pengurusan kanan Pusat Kecemerlangan Philips.
Ab Rauf berkata, persinggahan ke Pusat Kecemerlangan Philips yang juga penutup kepada siri lawatan kerja rasmi di Belanda, juga bertujuan untuk melihat teknologi mesin Imbasan Pengimejan Resonans Magnetik (MRI) dan diagnostik dibangunkan oleh Philips bagi keperluan PSH pada masa depan.
“Tentunya kepakaran dan teknologi dimiliki Philips dalam membekalkan peralatan kesihatan untuk mesin MRI, diagnostik dan cardiac selari dengan aspirasi PSH untuk meningkatkan kualiti serta mutu perkhidmatan penjagaan kesihatan di Melaka,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.