Sorting by

×

MELAKA HARAP USAHA ANGKAT MPHTJ BERSTATUS BANDARAYA DIREALISASIKAN

Masa Membaca:1 Minit, 45 Saat

AYER KEROH 18 Disember – Kerajaan Negeri berharap agar Kerajaan Persekutuan dapat mempertimbangkan kelonggaran terhadap kriteria sedia ada dalam usaha mengangkat Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) ke status bandaraya.

Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin berkata, perkara itu selari dengan perancangan jangka panjang pembangunan negeri yang semakin pesat dan mampan.

Beliau bagaimanapun berkata, hasrat itu tidak mudah untuk direalisasikan memandangkan ia ertakluk kepada syarat tertentu termasuklah memerlukan kapasiti penduduk sehingga 500,000 orang.

“Kita memang pun berada dalam satu perancangan untuk mengangkat MPHTJ supaya suatu hari nanti menjadi bandaraya tetapi untuk ke arah itu, ada banyak syarat-syarat tertentu perlu dipenuhi.

“Antara syarat utama adalah memerlukan kapasiti penduduk sehingga 500,000, namun kita semua sedia maklum penduduk Melaka hanyalah 1.05 juta orang sekali gus menjadikan syarat populasi itu satu cabaran.

“Jadi kita mengharapkan Kerajaan Persekutuan memberi sedikit kelonggaran untuk kita merealisasikan hasrat ini memandangkan dari segi hasil kutipan MPHTJ berada di kedudukan pihak berkuasa tempatan (PBT) kedua tertinggi di Melaka selepas Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sidang media selepas mewakili Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh menyempurnakan Majlis Perasmian Publisiti Dan Penyertaan Awam Draf Rancangan Tempatan MHPTJ 2035 (PENGGANTIAN), di sebuah hotel, di sini, hari ini.

Hadir sama, Exco Pembangunan Usahawan Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri Allex Seah Shoo Chin; Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia) TPr. Saidin Lateh; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Keroh, Kerk Chee Yee dan Yang Dipertua MPHTJ Datuk Sapiah Haron.

Sementara itu Rais berkata, sejumlah RM2 juta diperuntukan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menerusi PLANMalaysia bagi penyediaan kajian Rancangan Tempatan MPHTJ.

“Kali terakhir mereka mengadakan rancangan tempatan ini adalah 20 tahun lalu, jadi ini bakal menjadi sebuah perancangan pembangunan yang mampan untuk kawasan pentadbiran MPHTJ bagi tempoh 10 hingga 15 tahun akan datang.

“Mewakili Kerajaan Negeri dan Ketua Menteri saya berharap segala perancangan yang diadakan di dalam MPHTJ ini akan dapat membawa bandar ini menjadi lebih maju kehadapan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

345
Kongsi :
Previous post KEMBARA MOTOSIKAL 60KM PROMOSI KARNIVAL MASJID TANAH: KAMPUNG KITA
Next post UNIMEL LAKSANA INISIATIF MOBILITI HIJAU, KAMPUS LESTARI