
MELAKA HARGAI PENGAMAL MEDIA SEBAGAI PENYAMPAI KEBENARAN
BANDA HILIR 15 Disember – Peranan pengamal media sebagai penyampai kebenaran dan jambatan menghubungkan Kerajaan Negeri dengan rakyat dihargai menerusi Majlis Anugerah Media Ketua Menteri Melaka 2025, malam tadi.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, jasa dan bakti pengamal media terbukti apabila karya lakaran mereka berjaya mempromosikan negeri ini ke seantero dunia, khususnya dalam sektor pelancongan.
Oleh sebab itu, ujar beliau, Kerajaan Negeri berbesar hati menyediakan 14 anugerah bagi menghargai peranan besar yang dimainkan oleh pengamal media di negeri ini.
“Ini merupakan curahan hati Kerajaan Negeri di atas jasa dan bakti yang telah dicurahkan para pengamal media sepanjang saya mentadbir negeri ini.
“Semoga kita terus menjalin hubungan yang erat, di samping para pengamal media dapat terus membawa naratif yang baik serta maklumat yang tepat untuk disampaikan kepada masyarakat,” katanya kepada pemberita selepas majlis berkenaan.
Terdahulu, majlis itu turut dihadiri Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri serta lain-lain kenamaan.
Pada majlis tersebut, Ab Rauf turut menyampaikan insentif khas kepada pengamal media Melaka berjumlah RM500 seorang seperti yang diumumkan pada pembentangan Bajet Negeri Melaka 2026.
Sementara itu, Anugerah Media Ketua Menteri 2025 menyaksikan Melaka Hari Ini menggondol lima Anugerah Tuah dan tiga Anugerah Jebat menerusi laporan berita yang dihasilkan sepanjang tahun 2024 dan 2025.
Malam gemilang Melaka Hari Ini bermula apabila meraih Anugerah Tuah Laporan Berita Akhbar Bahasa Melayu Cemerlang yang menyaksikan Mohamad Fazrul Abdul Majid dinobat sebagai pemenang sekali gus membawa pulang RM2,000, trofi dan sijil penghargaan.
Ia diikuti Anugerah Tuah Kandungan Video/Visual Cemerlang dan Anugerah Kewartawanan Foto Cemerlang pula masing-masing dimenangi Aufa ‘Izzati Ahmad Zailani dan Iqmal Haqim Rosman juga membawa pulang RM2,000, trofi serta sijil.
Melaka Hari Ini turut menggondol Anugerah Tuah Media Digital Cemerlang yang dimenangi Mohamad Faris Haikal Mohamad Zakaria yang juga memenangi RM2,000, trofi dan sijil penghargaan.
Selain itu, Liana Sahabudin memenangi Anugerah Jebat Kewartawanan Rencana Cemerlang; Mohd Zaidi Yaacob (Anugerah Jebat Kandungan Video/Visual Cemerlang) dan Muhammad Rasul Azli Samad dengan Anugerah Jebat Foto Cemerlang yang masing-masing membawa pulang RM500.
Lebih istimewa, Melaka Hari Ini turut diumum sebagai penerima Anugerah Tuah Media Ketua Menteri Melaka 2025 yang disampaikan sendiri Ketua Menteri kepada Ketua Pegawai Eksekutif Melaka Hari Ini Sdn Bhd Nasharuddin Muhamad.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


