
MELAKA HARI INI TERIMA ANUGERAH MEDIA PROAKTIF MPJ
JASIN 24 Januari – Melaka Hari Ini Sdn Bhd menerima Anugerah Media Proaktif Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) di atas usaha menyebarkan maklumat berkaitan inisiatif, program dan peranan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) itu kepada masyarakat.
Anugerah itu disampaikan oleh Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Zulkiflee Mohd Zin kepada Ketua Pegawai Eksekutif Melaka Hari Ini Sdn Bhd Nasharuddin Muhammad.
Penyampaian anugerah tersebut berlangsung pada Program Komuniti MADANI MPJ bersempena Sambutan Ulang Tahun Perbandaran Jasin Ke-19 Tahun 2026 di Dataran Vista Alamanda (D’Va) MPJ, di sini, hari ini.
Yang Dipertua MPJ Muhammad Zahiruddin Mohd Zahari berkata, anugerah itu diberikan sebagai tanda penghargaan terhadap kerjasama erat serta sokongan berterusan Melaka Hari Ini yang menjadi rakan media yang sentiasa proaktif, bertanggungjawab serta konsisten dalam menyampaikan maklumat tepat dan beretika, selain membantu meningkatkan kefahaman dan kesedaran awam terhadap usaha-usaha PBT.
“Peranan media amat penting sebagai penghubung antara PBT dan masyarakat. Kerjasama strategik bersama Melaka Hari Ini banyak membantu MPJ dalam memastikan maklumat sampai kepada rakyat dengan berkesan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berharap agar hubungan kerjasama strategik antara MPJ dan Melaka Hari Ini dapat diteruskan serta diperkukuhkan pada masa hadapan.
“Kita berharap Melaka Hari Ini terus komited sebagai rakan media yang menyampaikan laporan secara telus, berimbang dan berimpak kepada masyarakat selari dengan aspirasi pembangunan perbandaran yang mampan.
“Saya yakin anugerah ini mampu menjadi galakan positif kepada rakan-rakan media lain untuk terus bekerjasama secara profesional, menyokong penyampaian maklumat yang tepat dan membina serta bersama memainkan peranan dalam membantu pembangunan, kesejahteraan komuniti dan imej positif PBT,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


