
MELAKA HIDUPKAN ‘RUMAH-RUMAH ALLAH’ DENGAN MAJLIS ILMU
PENGKALAN BATU 15 Mac – Kerajaan Negeri menyalurkan peruntukan berjumlah RM409,500 kepada 25 masjid dan 108 surau kariah di Parlimen Hang Tuah Jaya bagi mengimarahkan program sepanjang Ramadan tahun ini.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, peruntukan itu disalurkan menerusi Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) dan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM).
Katanya, bantuan secara ‘one off’ itu diberikan kepada ahli jawatankuasa masjid, surau selain imbuhan kepada bilal wanita serta penggali kubur, di samping peruntukan bagi program Ihya’ Ramadan dan bantuan utiliti.
“Bantuan ini diberikan bagi memastikan institusi masjid dan surau terus berperanan sebagai pusat ibadah, penyatuan masyarakat serta penganjuran pelbagai program kerohanian sepanjang bulan mulia.
“Kerajaan Negeri mahu memastikan rumah-rumah Allah di negeri ini terus hidup dengan aktiviti ibadah, majlis ilmu dan program kemasyarakatan yang memberi manfaat kepada kariah setempat.
“Peranan masjid dan surau amat penting dalam membentuk masyarakat yang sejahtera serta memperkukuh nilai perpaduan dalam kalangan umat Islam,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Sumbangan Ramadan Peringkat Parlimen Hang Tuah Jaya di Masjid Al-Ibadah, di sini, hari ini.
Hadir sama, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi merangkap Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya Adam Adli Abd Halim; Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pengkalan Batu Datuk Kalsom Noordin dan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman serta jemputan lain.
Dalam pada itu, Ab Rauf berkata Kerajaan Negeri turut menyalurkan sumbangan Ramadan berjumlah RM12,000 kepada 120 penerima kurang bernasib baik dalam Parlimen Hang Tuah Jaya.
“Sumbangan itu dilihat sebagai usaha membantu meringankan beban golongan memerlukan sepanjang bulan Ramadan.
“Inisiatif itu selari dengan gagasan Melaka Sayang Rakyat (MeSRa) yang menekankan kebajikan rakyat sebagai keutamaan Kerajaan Negeri,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


