
MELAKA JADI HAB HELIKOPTER TERBESAR ASIA TENGGARA
Oleh: Norafiqah Jamal dan Alya Atiqah
AYER KEROH 15 April – Melaka bakal menjadi hab pemasangan dan penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) helikopterterbesar di Asia Tenggara menjelang 2028, hasil pelaburan yang diterima Kerajaan Persekutuan daripada pelabur Syarikat The Weststar Group.
Justeru, Kerajaan Persekutuan bersetuju meluluskan agar hasil pelaburan berjumlah RM16.54 bilion diperuntukkan kepada Kerajaan Negeri Melaka bagi membangunkan kilang helikopter berkenaan di sebuah tapak di Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM) Batu Berendam.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, pembangunan kemudahan itu bakal memberi satu sinar baharu dalam industri aeroangkasa di rantau ini, di mana projek pembinaan terbabit telah dimulakan pada tahun ini.
“Kawasan pembinaan yang dikenal pasti seluas 6.9 hektar dalam kawasan LTAM, di mana Kerajaan Negeri akan memberikan sokongan sepenuhnya bagi membantu projek ini dalam tempoh tiga tahun.
“Hasil kerjasama dengan syarikat pengeluar utama helikopter dunia iaitu Syarikat Leonardo yang berpangkalan di Rom, Itali dilihat akan memberikan peluang baik kepada Negeri Melaka.
“Projek itu akan dibangunkan sebuah kilang pemasangan bersekali dengan hab MRO helikopter oleh Syarikat The Weststar,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media selepas Sesi Lawatan Tapak Bagi Cadangan Pembinaan Kilang Pemasangan Helikopter di LTAM oleh Syarikat The Weststar Group, di sini, hari ini.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad; Exco Kerja Raya, Infastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer dan Timbalan Exco Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan TVET negeri Datuk Khaidhirah Abu Zahar.
Turut hadir, Pengerusi Syarikat The Weststar Group, Tan Sri Dr. Syed Azman Syed Ibrahim serta kenamaan lain.
Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata Kerajaan Negeri menyambut baik peluang pelaburan daripada Syarikat Weststar Group yang dilihat bakal membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat Melaka.
“Selain itu juga, apabila siap kelak, projek pembangunan termasuk pusat latihan serta perusahaan helikopter ini, pihak Weststar Group bakal melahirkan seramai 1,500 juruterbang helikopter setiap tahun.
“Sekiranya pembinaan ini siap, pengoperasian pembangunan ini tidak akan mengganggu penerbangan komersial,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.