Sorting by

×

MELAKA JADI PERHATIAN, RAIH 1.5 BILION HIT DI ‘WECHAT’ CHINA

Masa Membaca:1 Minit, 27 Saat

SERI NEGERI 15 Mei – Melaka mencipta sejarah apabila mencatat 1.5 bilion capaian menerusi platform ‘WeChat’ China, sekali gus menjadikan antara kejayaan pelancongan digital paling besar pernah direkodkan Malaysia.

Capaian luar biasa itu adalah hasil inisiatif pelantikan selebriti antarabangsa, Fan Bingbing sebagai Duta Setiakawan Pelancongan Melaka sempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, menyifatkan pencapaian ini sebagai lonjakan strategik dalam usaha menembusi pasaran pelancong China, seterusnya meletakkan Melaka dalam peta pelancongan dunia.

“Fan Bingbing berjaya mencetuskan gelombang luar biasa. Nama Melaka melonjak bersama beliau dan hasilnya, kita raih lebih 1.5 bilion hit mengatasi acara mega seperti Shanghai International Film Festival dan Weibo Movie Awards.

“Kejayaan ini turut menyumbang kepada peningkatan ketara pelancong China ke Melaka daripada 204,818 orang (2023) kepada 664,687 orang (2024), iaitu peningkatan sebanyak 459,869 orang atau 22.64 peratus,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Rekod Baharu Kerajaan Negeri Melaka Daripada Malaysia Book Of Record (MBOR) ‘Largest Digital Hits For Malaysia Tourism On Whechat Platform Using Celebrity Ambassador’ di pejabatnya, di sini, hari ini.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman dan Timbalannya Datuk Zaidi Attan; Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) Melaka Nasrul Ahmad dan Pegawai MBOR Edwin Yeoh Tiong Chin.

Ab Rauf, menegaskan bahawa ini bukan sekadar kejayaan angka tetapi satu anjakan imej strategik bagi Negeri Melaka.

“Imej Melaka kini melonjak sebagai destinasi pelancongan berkelas dunia dikenali, dikunjungi dan dihormati.

“Kerajaan Negeri akan terus memperkukuh strategi promosi digital berimpak tinggi dan meneroka lebih banyak kerjasama global untuk memastikan Melaka kekal sebagai destinasi pilihan pelancong antarabangsa,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

531
Kongsi :
Previous post KOMPAUN PARKIR PALING BANYAK DISELESAIKAN SEPANJANG PROMOSI 22 TAHUN MPAG
Next post TUNGGU KEJUTAN TAHUN MELAWAT MELAKA 2.0 – AB RAUF