Sorting by

×

MELAKA JADIKAN SAMBUTAN WTD 2025 MERIAH LAIN MACAM

Masa Membaca:1 Minit, 45 Saat

BANDA HILIR 21 September – Melaka menjadi tuan rumah pertama yang berjaya menjadikan Hari Pelancongan Sedunia (WTD) dan Persidangan Pelancongan Sedunia (WTC) 2025 lebih meriah berbanding kebiasaan.

Perkara itu dinyatakan Ketua Pengarah Tourism Malaysia Datuk Manoharan Periasamy selepas melihat sendiri persediaan lengkap Melaka menganjurkan acara pelancongan dunia itu.

Menurut beliau, tidak seperti tuan rumah lain sebelum ini yang menjadikan WTD sebagai acara berkonsep skala kecil dengan penglibatan pemain industri pelancongan seluruh dunia, Melaka pula mengambil pendekatan merancakkan sambutan dengan penglibatan rakyat.

“Ini dapat dilihat menerusi pelbagai acara yang dirangka, malah sambutan WTD 2025 juga diadakan selama seminggu di Melaka dengan melibatkan rakyat, umpamanya menerusi program Larian WTD 2025 Melaka Heritage Run yang disertai lebih 4,000 peserta.

“Ini merupakan usaha untuk memaklumkan rakyat bahawa Melaka dan Malaysia menjadi tuan rumah acara pelancongan dunia, di mana tanpa penglibatan rakyat, WTD 2025 ini mungkin hanya dianggap sebagai acara selingan sahaja.

“Jadi, ini merupakan satu usaha yang amat mengagumkan kerana walaupun Malaysia pernah menjadi tuan rumah WTD di Kuala Lumpur sebelum ini, namun ia tidak semeriah yang diadakan di Melaka ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas Program Larian WTD 2025 Melaka Heritage Run yang dirasmikan Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh di perkarangan Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan, di sini, semalam.

Hadir sama, Timbalan Ketua Setiausaha (Pelancongan) Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Chua Choon Hwa; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri serta lain-lain kenamaan.

Menjelang WTD dan Persidangan Pelancongan Sedunia (WTC) 2025 pada 27 hingga 29 September ini, Manoharan optimis keupayaan Melaka dalam menjadikan sambutan tahun ini luar biasa dan berupaya menonjolkan keunikan produk pelancongan, warisan, seni dan budaya negara ke mata dunia.

“Banyak program telah dirangka Kerajaan Negeri Melaka dan antaranya ialah himpunan 1,000 penari zapin dari seluruh negara, selain penglibatan negara serumpun seperti Indonesia, Brunei dan Thailand.

“Jadi, saya percaya semua ini akan menambah seri dan kemeriahan sambutan WTD dan WTC 2025, seterusnya mengangkat Melaka dan Malaysia sebagai tuan rumah terbaik,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

431
Kongsi :
Previous post 300 DELEGASI WTD 2025 DIBAWA NAIK MENARA TAMING SARI
Next post MELAKA BANGUNKAN DUA PROJEK AGROPELANCONGAN, TARIK PENGUNJUNG KE LUAR BANDAR