Sorting by

×

MELAKA JOHAN BOLA TAMPAR SUKAN GURU PENDIDIKAN ISLAM 2025

Masa Membaca:1 Minit, 21 Saat

AYER KEROH 4 Disember – Melaka mencipta sejarah apabila dinobatkan sebagai johan acara bola tampar, sekali gus menjadi pasukan terbaik kebangsaan di Kejohanan Sukan Guru Pendidikan Islam (KSGPI) 2025 yang berlangsung di Kuching, Sarawak.

Jurulatih Melaka, Mohamad Najib Abd Razak meluahkan rasa syukur di atas pencapaian gemilang yang dianggap sebagai penebus kekecewaan edisi lalu.

“Alhamdulillah, tahun ini kita berjaya bangkit. Selepas hanya menduduki tempat ketiga pada edisi lepas, kali ini pemain menunjukkan komitmen, kerjasama dan disiplin yang sangat tinggi sejak latihan hinggalah ke perlawanan sebenar,” katanya.

Kejayaan tersebut turut mendapat perhatian dan ucapan tahniah daripada Pengarah Pendidikan Negeri Melaka, Mahfuzah Mohamed Noor, yang merakamkan penghargaan di atas usaha dan kegigihan seluruh pasukan.

Kejayaan gemilang Melaka bermula dalam saingan peringkat kumpulan apabila tampil cemerlang dengan rekod bersih tiga kemenangan ke atas Selangor (31-19), Perak (31-17) dan Terengganu (31-15).

Rekod cemerlang itu melayakkan Melaka muncul johan kumpulan B, seterusnya mara ke separuh akhir berdepan Sabah dalam aksi sengit tiga set sebelum mencatat kemenangan 24-26, 25-20 dan 15-5.

Di pentas akhir, Melaka membuktikan keunggulan apabila berjaya menundukkan juara bertahan, Johor dengan kemenangan 25-17, 15-25 dan 15-11, sekali gus muncul juara edisi kali ini.

KSGPI 2025 menghimpunkan kira-kira 2,000 atlet yang terdiri daripada guru-guru Pendidikan Islam dari seluruh negara, melibatkan 10 acara sukan.

Ia diadakan bertujuan mengukuhkan jaringan profesional, memupuk kesatuan dan meningkatkan kesejahteraan warga pendidik melalui platform kesukanan.

Kejohanan berprestij itu melabuhkan tirainya pada 30 November lalu dan telah dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Sarawak, Datuk Dr. Annuar Rapee.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

300
Kongsi :
Previous post STATUS OKU INSPIRASI MOHD NORAFI BERGELAR USAHAWAN BERJAYA