Sorting by

×

MELAKA KAJI CADANGAN KURANGKAN KADAR SEWA TAPAK PENJAJA

Masa Membaca:1 Minit, 6 Saat

PAYA RUMPUT 25 Mac – Kerajaan Negeri akan meneliti cadangan berkaitan pengurangan sewaan perniagaan di negeri ini seperti yang dilaksanakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan perkara tersebut akan dibincangkan di peringkat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN).

Cadangan itu berikutan pada 14 Mac lalu, media melaporkan DBKL merupakan pihak berkuasa tempatan (PBT) pertama mengurangkan kadar sewaan 50 peratus bagi tapak penjaja serta premis tertentu di bawah seliaannya berkuatkuasa 1 April hingga 31 Disember ini.

Memberi reaksi terhadap cadangan tersebut, Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin berkata, beliau mengambil maklum cadangan yang dilaksanakan DBKL dengan tujuan membantu mengurangkan tekanan kos operasi yang dihadapi golongan penjaja dan peniaga kecil.

“Penelitian lanjut perlu dibuat bagi memastikan sebarang cadangan yang dikemukakan mengambil kira kesesuaian serta keperluan semasa di negeri ini dan setakat ini cadangan tersebut masih belum dibincangkan secara terperinci.

“Kita akan lihat dahulu dan bincangkan secara lebih menyeluruh perkara ini sebelum diangkat ke peringkat MMKN,” katanya kepada pemberita ketika ditemui baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Rais berkata meskipun belum dipanjangkan ke peringkat tertinggi namun perkara tersebut dilihat positif dan boleh dipertimbangkan dari semasa ke semasa.

“Di Melaka kita ada melaksanakan gagasan Melaka Sayang Rakyat (MeSRa) yang memang membantu semua golongan termasuk penjaja kecil di negeri ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

419
Kongsi :
Previous post AIDILFITRI: ZON BEBAS KENDERAAN BERMULA 26 HINGGA 30 MAC
Next post 40,000 DIJANGKA MERIAHKAN RUMAH TERBUKA AIDILFITRI MELAKA SAYANG RAKYAT