
MELAKA KE ARAH NEGERI PINTAR, INFRASTRUKTUR DIGITAL BERSKALA BESAR BAKAL DIBANGUNKAN
AYER KEROH 12 Disember – Melaka dipilih sebagai rakan strategik pelaksanaan pembangunan infrastruktur digital berskala besar, seterusnya bakal merealisasikan visi negeri ini menuju negeri pintar menjelang 2035.
Pemilihan itu dimeterai menerusi Memorandum Persefahaman (MoU) antara Kerajaan Negeri Melaka dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) melibatkan pelaksanaan rangkaian gentian optik sepanjang lebih 200 kilometer yang merangkumi kawasan bandar, pinggir bandar serta lokasi strategik terpilih di seluruh negeri.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, berkata MoU berkenaan menjadi kerangka utama pelaksanaan projek fiberisasi negeri yang menyeluruh.
“MoU ini merupakan satu persefahaman penting yang menjadi asas kepada pelaksanaan rangkaian infrastruktur digital berskala besar bagi menjadikan Melaka sebuah negeri pintar yang memberi manfaat langsung kepada rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyaksikan Majlis Pertukaran MoU Antara Kerajaan Negeri Melaka dan MCMC di sebuah hotel di sini, hari ini.
Hadir sama, Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil; Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Fairul Nizam Roslan serta lain-lain kenamaan.
Menurut Ketua Menteri, pelaksanaan itu melibatkan peruntukan RM310 juta daripada Kementerian Komunikasi melalui MCMC, selaras dengan skop projek jangka panjang yang memberi impak besar kepada pembangunan negeri.
Katanya, menerusi kerjasama tersebut, rangkaian fiberoptik yang dibangunkan akan berfungsi sebagai infrastruktur neutral yang boleh digunakan secara bersama oleh semua penyedia perkhidmatan telekomunikasi.
“Ia sekali gus meningkatkan kualiti liputan, kelajuan serta kestabilan rangkaian digital termasuk pemasangan ‘Smart Poles 5G’.
“Melalui MoU ini, kita membina asas yang kukuh untuk transformasi digital Melaka, bukan sahaja dari sudut komunikasi malah keselamatan awam, pengurusan bencana dan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat,” jelasnya.
Ab Rauf berkata, skop MoU tersebut turut merangkumi peluasan Wi-Fi awam, pemasangan kamera pintar bagi tujuan keselamatan, selain pengukuhan sistem keselamatan awam pintar berasaskan kecerdasan buatan (AI) yang menyokong pemantauan CCTV dan amaran masa nyata.
Selain itu, kata beliau, ia turut menyokong pembangunan pengurusan banjir pintar berasaskan teknologi Internet Benda (IoT) melalui pemasangan sensor paras air, penggunaan data ramalan hujan serta sistem amaran awal bagi mengurangkan risiko bencana.
Dalam sektor pelancongan pula, ujar beliau, inisiatif di bawah MoU itu akan memperkenalkan pelancongan warisan digital melibatkan kios interaktif, navigasi digital dan pengalaman pelawat berasaskan data, selari dengan agenda memodenkan industri pelancongan negeri.
“Pusat Operasi Bandar Pintar (City OS) akan berperanan menyatukan data seluruh negeri bagi membolehkan tindakan yang lebih pantas, tepat dan bersepadu, sejajar dengan hala tuju MoU ini.
“MoU ini mencerminkan komitmen bersama untuk membina Melaka yang lebih bersedia, lebih pintar dan lebih responsif terhadap keperluan rakyat,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


