
MELAKA KE ARAH NEGERI TVET, JADI PUSAT SUMBER TENAGA MAHIR NEGARA
BANDARAYA MELAKA 10 Jun – Melaka kini melangkah ke arah menjadi negeri Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dengan keupayaan menyediakan tenaga mahir kepada industri.
Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, dipilih sebagai pusat TVET negara, Melaka mampu menyediakan ekosistem pendidikan teknikal yang menyokong keperluan industri.
“Kita ada 23 kolej TVET di Melaka dan lebih banyak lagi di bawah sektor swasta. Di setiap daerah kita ada kolej komuniti, GiatMARA, serta institusi teknikal lain yang bersedia melahirkan sumber manusia berkualiti.
“Kehadiran pelbagai institusi teknikal utama seperti Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) serta Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM) membuktikan komitmen jangka panjang negeri ini terhadap pembangunan modal insan teknikal.
“Melaka juga adalah tempat lahirnya universiti TVET pertama negara, iaitu Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM). Ia meletakkan kita pada kedudukan strategik untuk menjadi pemacu utama dalam agenda pembangunan TVET negara,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Sesi Libat Urus Bajet Pembangunan Negeri Melaka Tahun 2026 bersama YB Exco dan Adun Melaka di sebuah hotel, di sini, hari ini.
Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Azhar Arshad; Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Wira Salhah Salleh; barisan Exco serta Timbalan Exco Kerajaan Negeri.
Ujarnya, Melaka turut mempunyai tiga politeknik serta tiga Universiti Teknologi MARA (UiTM) yang bersama membentuk rantaian pendidikan tinggi teknikal bagi memenuhi keperluan pelabur dan pemain industri.
“Kita cukup lengkap untuk menjadi pusat penyaluran sumber manusia berkualiti kepada industri yang datang ke Melaka.
“Perkembangan ini sangat positif dan memperkukuh kedudukan Melaka sebagai hub pendidikan teknikal dan vokasional,” katanya.
“Melaka juga kini sedang menuju ke arah menjadi negeri TVET sepenuhnya, sejajar dengan hasrat kerajaan untuk menjadikan pendidikan teknikal sebagai tulang belakang kepada pembangunan negara berpendapatan tinggi,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.