
MELAKA KECAM GANGGUAN KONVOI SUMUD FLOTILLA, GESA EMPAT TINDAKAN – KM
AYER KEROH 2 Oktober – Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, hari ini, mengecam tindakan gangguan konvoi Global Sumud Flotilla yang sedang dalam perjalanan bagi misi kemanusiaan menuju ke Gaza.
Beliau turut menyuarakan kebimbangan apabila konvoi tersebut dipintas dan menghadapi tindakan yang membahayakan keselamatan peserta dan krew terlibat.
Menurut beliau, atas kapasiti dan suara rakyat Melaka, pihaknya menyeru empat tindakan untuk dilakukan Kerajaan Persekutuan.
Jelas beliau, tindakan pertama adalah mengutamakan perlindungan dan keselamatan warganegara Malaysia yang terlibat serta memastikan maklumat keselamatan dan konsular disalurkan segera.
“Kedua, mengutamakan pendesakan diplomatik memohon jaminan keselamatan daripada pihak berkenaan dan menggunakan saluran antarabangsa (Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Kesatuan Eropah, rakan diplomatik) untuk memastikan akses kemanusiaan.
“Ketiga, menuntut siasatan antarabangsa terhadap apa-apa tindakan yang mengancam misi kemanusiaan yang dijalankan secara aman dan menegaskan hak asasi serta perlindungan warga awam dan sukarelawan.
“Terakhir, menyuarakan sokongan moral dan doa daripada rakyat Melaka, Malaysia dan dunia serta memobilisasi bantuan kemanusiaan alternatif yang sah untuk Gaza,” katanya dalam satu hantaran di Facebook rasmi beliau.
Dalam pada itu, Ketua Menteru turut menyeru seluruh rakyat Melaka, agar bersama-sama menadah tangan memohon doa agar Allah SWT melindungi setiap pejuang kemanusiaan dan memberi keselamatan kepada saudara kita di Gaza.
“Kita berdiri teguh menuntut jaminan keselamatan, suara kita mesti kedengaran di pentas antarabangsa supaya misi kemanusiaan diberi ruang dan perlindungan,” tambahnya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.