Sorting by

×

MELAKA KOMITED KUKUH SYIAR ISLAM

Masa Membaca:1 Minit, 59 Saat

BUKIT PALAH 5 September – Kerajaan Negeri sentiasa komited menjadikan pengukuhan syiar Islam dan penganjuran program keagamaan sebagai agenda utama pembangunan Melaka.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman berkata, hasrat itu seiring dengan aspirasi membangunkan Ummah MADANI, sekali gus bertetapan dengan komitmen Kerajaan Negeri.

Beliau berkata, dalam memperkasakan syiar Islam pelbagai inisiatif telah dan sedang dilaksanakan termasuk pengukuhan pendidikan Islam di sekolah-sekolah.

“Bukan itu sahaja ia turut melibatkan pembangunan institusi masjid dan surau, penganjuran majlis ilmu serta forum dan diskusi keagamaan yang bermanfaat untuk masyarakat khususnya rakyat Melaka.

“Sehubungan itu bersempena sambutan Maulidur Rasul 1447H sebanyak 30 program keilmuan telah disusun antaranya Karnival Semarak Cinta Rasul, Explorace Jejak Rasul @MAIM 2025 dan Program Melaka Bermunajat serta Himpunan Komuniti Astronomi.

“Segala usaha ini adalah cerminan iltizam Kerajaan Negeri untuk melahirkan masyarakat yang bukan sahaja maju dan berdaya saing tetapi dekat dengan Allah S.W.T,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap mewakili Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, pada Majlis Perhimpunan dan Perarakan Sempena Sambutan Maulidur Rasul 1447H Peringkat Negeri Melaka Tahun 2025M, di Stadium Tun Fatimah, Bukit Serindit, hari ini.

Terdahulu, majlis disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri, Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam dan hadir sama Toh Puan Datuk Wira Dr. Asmah Ab Rahman serta Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad.

Turut hadir, Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri, Datuk Kalsom Noordin bersama barisan Timbalan Exco Kerajaan Negeri dan Mufti Negeri Melaka Datuk Wira Abdul Halim Tawil, Setiausaha Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) Shaifulfazlee Mohamad dan Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) Datuk Md Azhan Samat.

Rahmad yang juga Timbalan Pengerusi MAIM berkata, Kerajaan Negeri menaruh harapan yang tinggi agar model Ummah MADANI yang diketengahkan pada sambutan Maulidur Rasul tahun ini dapat diteladani dan diamalkan oleh seluruh rakyat Melaka.

“Saya yakin dengan mencontohi ajaran Rasulullah SAW kita mampu melahirkan masyarakat yang teguh pegangan agama, mantap ilmu dan luhur akhlaknya serta dapat mengukuhkan perpaduan.

“Justeru itu Kerajaan Negeri akan terus beriltizam menyuburkan syiar Islam di negeri ini demi memastikan keharmonian dan kesejahteraan negeri sentiasa terpelihara seiring dengan maqasid utama pentadbiran iaitu memastikan kebajikan rakyat sentiasa menjadi keutamaan,” katanya.

Sementara itu Rahmad berkata, seramai 6,227 orang peserta yang terdiri daripada 112 kontinjen dari pelbagai agensi, institusi termasuk sekolah mengambil bahagian dalam perarakan Maulidur Rasul tahun ini.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1051
Kongsi :
Previous post PULAU BESAR LOKASI PROJEK RAMALAN KILAT 3D, AMARAN AWAL RIBUT
Next post DATARAN MASJID AL-AZIM LOKASI LIHAT GERHANA BULAN