
MELAKA KOMITED PERKASA PEMBANGUNAN MODAL INSAN
TABOH NANING 20 September – Agenda pembangunan insan akan terus diperkasakan agar rakyat bukan sekadar memiliki perkerjaan, tetapi mempunyai ekonomi yang stabil dan meningkatkan taraf hidup keluarga.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, komitmen itu juga selaras dengan kehendak atau kriteria utama dunia pekerjaan masa kini yang tidak lagi hanya bergantung kepada kelulusan akademik semata-mata.
Katanya, dunia pekerjaan kini turut mementingkan penguasaan teknologi, daya kreativiti, kebolehan menyelesaikan masalah serta keupayaan menyesuaikan diri..
“Sebab itu, Kerajaan Negeri melalui pelbagaia gensi tidak putus-putus mengadakan kanival kerjaya untuk membantu rakyat Melaka.
“Alhamdulillah, berdasarkan rekod Karnival Kerjaya MYFutureJobs Negeri Melaka bersempena dengan Sambutan Hari TVET Negara pada Jun lalu, seramai 2,120 pemohon telah berdaftar dan 525 daripadanya telah berjaya ditawarkan pekerjaan, manakala 1,696 pemohon telah berjaya ke peringkat seterusnya,” kata Ketua Menteri.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Program Karnival Rakyat dan Kerjaya Peringkat DUN Taboh Naning di Japerun Taboh Naning, di sini, hari ini.
Hadir sama Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Zulkiflee Mohd Zin merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Taboh Naning; Pegawai Daerah Alor Gajah Datuk Sabrina Thalas; Yang Dipertua Majlis Perbandaran Alor Gajah, Datuk TPr. Saifuddin Abdul Karim, wakil jabatan serta agensi Kerajaan Negeri.
Ab Rauf berkata, karnival dianjurkan menjadi platform penting untuk merakyatkan perkhidmatan kerajaan, selain berfungsi sebagai wahana pembangunan modal insan melalui peluang kerjaya, peningkatan kemahiran dan usaha memperkukuh kesejahteraan komuniti.
“Inilah buktinya bahawa pembangunan bukan sahaja tertumpu di bandar, malah turut sampai ke desa agar seluruh rakyat merasai nikmat kemajuan bersama.
“Saya dimaklumkan, pada kali ini sebanyak 83 jawatan kosong ditawarkan melalui, enm syarikat yang terlibat dalam karnival ini, sekali gus menterjemahkan kesungguhan kerajaan membawa peluang pekerjaan terus ke pintu kampung, agar masyarakat desa tidak ketinggalan dalam arus pembangunan negara.
“Justeru, saya menyeru kepada semua pihak, khususnya golongan belia agar merebut peluang yang tersedia untuk menambah ilmu, mengikuti latihan kemahiran, serta berani membuka ruang baharu bagi mencipta kejayaan sendiri,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.