Sorting by

×

MELAKA KOMITED TERUS PERKASA GOLONGAN OKU

Masa Membaca:1 Minit, 21 Saat

BANDARAYA MELAKA 6 Februari – Kerajaan Melaka menggalakkan lebih banyak program yang memberikan manfaat dan memfokuskan kepada aspek pemulihan serta pemerkasaan orang kurang upaya (OKU) dianjurkan di negeri ini.

Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri, Datuk Kalsom Noordin berkata, komitmen itu selaras dengan usaha memperkukuhkan kesejahteraan sosial termasuk meningkatkan kualiti hidup OKU di Melaka.

Katanya, Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) terutamanya diharap dapat mempelbagaikan lagi aktiviti latihan dan pembangunan, sekali gus meningkatkan produktiviti serta tahap keyakinan diri pelatih.

“Saya menyeru agar PPDK terus mempelbagaikan aktiviti mereka, tidak hanya terikat kepada rutin biasa sebaliknya melibatkan juga kegiatan lebih bersifat revolusi seperti sukan, kemahiran digital dan keusahawanan.

“Justeru, mengambil kira masa hadapan yang semakin mencabar Kerajaan Negeri komited untuk terus menyokong program-program bersifat proaktif yang memfokuskan kepada pemulihan serta pemerkasaan OKU,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Kejohanan Sukan Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti Peringkat Negeri Melaka, yang berlangsung di Padang Rumah Kasih Tun Abdul Aziz Durian Daun, di sini, semalam.

Menurut Kalsom, program kesukaran dianjurkan bukan sekadar melibatkan aktiviti fizikal tetapi simbolik kepada kecekalan dan keazaman luar biasa OKU dalam mengatasi kekangan demi mencapai kecemerlangan.

“Saya menyokong usaha PPDK seluruh Melaka dalam memperkasakan fungsi mereka, bukan sekadar berperanan sebagai pusat intervensi sebaliknya memainkan peranan lebih besar sebagai platform menggilap bakat seterusnya meningkatkan kelestarian hidup.

“Penganjuran kejohanan sukan ini amat bermakna kerana ia dapat membuktikan bahawa kekurangan fizikal atau kognitif bukanlah penghalang untuk berasaing secara sihat,” katanya.

Jelasnya, menerusi penganjuran sukan juga ia memberi peluang kepada masyarakat untuk melihat potensi sebenar pelatih PPDK yang mampu menyumbang kepada kemajuan sukan di peringkat lebih tinggi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

398
Kongsi :
Previous post ZAHARI BERI PERHATIAN SERIUS ISU KESELAMATAN LALUAN DI PADANG KELADI
Next post AB RAUF KONGSI INISIATIF BERMANFAAT BERSAMA SAARANI