
MELAKA KONSISTEN LAHIRKAN QARI, QARIAH, HAFIZ DAN HAFIZAH BERWIBAWA
PENGKALAN BATU 25 Januari – Majlis Tilawah dan Hafazan Al- Quran (MTHQ) akan terus menjadi program teras Kerajaan Negeri melahirkan generasi qari, qariah, hafiz dan hafizah berwibawa pada masa akan datang.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, ia merupakan komitmen Kerajaan Negeri dalam memperkasa al-Quran dan agama Islam apabila menganjurkan program tersebut secara tahunan.
Katanya, penganjuran MTHQ bukan sekadar pertandingan, malah berfungsi sebagai platform tarbiyah serta pencarian bakat terbaik negeri bagi mewakili Melaka ke peringkat kebangsaan dan antarabangsa di bawah penganjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
“Sepanjang tempoh 2023 hingga 2025, Melaka mencatat pencapaian membanggakan apabila menghantar seramai tiga qari, tiga qariah, sembilan hafiz dan sembilan hafizah ke peringkat kebangsaan, sekali gus merangkul pelbagai kejayaan yang mengharumkan nama negeri.
“Bagi penganjuran tahun ini, seramai 46 peserta berjaya melayakkan diri ke peringkat akhir negeri melibatkan 21 peserta Tilawah Al-Quran dan 25 peserta Hafazan Al-Quran dalam kategori satu hingga 10 juzuk, satu hingga 20 juzuk serta satu hingga 30 juzuk,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Penyampaian Hadiah Tilawah dan Hafazan Al-Quran Tahun 1447H/2026 yang berlangsung di Auditorium Al-Azim, di sini, malam tadi.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman.
Majlis berprestij itu telah disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam yang turut menyampaikan hadiah kemenangan kepada para peserta, sekali gus merasmikan majlis tersebut.
Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman; Penasihat Undang-Undang Negeri Datuk Khairul Azreem Mamat; Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) Datuk Md Azhan Samad serta kenamaan lain.
Menurut Ab Rauf, melihat kepada tahap kesungguhan serta prestasi cemerlang peserta, Jawatankuasa Induk MTHQ Negeri Melaka bersetuju mengekalkan inisiatif pemberian hadiah tambahan sebagai galakan dan penghargaan kepada para pemenang.
Tambahnya, inisiatif tersebut merangkumi pemberian pakej umrah bernilai RM10,000 kepada johan Tilawah Al-Quran dan Hafazan bagi kategori satu hingga 30 juzuk, selain pakej kembara ilmiah kepada pemenang kategori lain.
“Usaha ini mencerminkan prinsip Melaka Sayang Rakyat (MESRA) yang merangkumi pembangunan holistik termasuk aspek pendidikan dan pengukuhan kerohanian Islam dalam kalangan rakyat.
“Komitmen Kerajaan Negeri terhadap pembangunan rohani turut dizahirkan melalui Bajet Negeri Melaka 2026 apabila sektor keagamaan menerima antara peruntukan terbesar negeri, selari dengan hasrat memastikan pembangunan fizikal berjalan seiring pembinaan insan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


