Sorting by

×

MELAKA LAKAR LEBIH 200 PENCAPAIAN DALAM 3 TAHUN

Masa Membaca:2 Minit, 7 Saat

AYER KEROH 9 Mac – Lebih 200 pencapaian berjaya dilakar di bawah pentadbiran Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh dalam tempoh tiga tahun.

Ketua Menteri berkata, kejayaan itu adalah rentetan daripada pelbagai program dan inisiatif sehingga mengangkat nama Melaka bukan sahaja di peringkat nasional, malah turut mendapat pengiktirafan di persada antarabangsa.

Jelas beliau, kejayaan tersebut bukanlah datang daripada dirinya seorang, sebaliknya di belakang beliau, berdiri teguh para seluruh penjawat awam, agensi, anak syarikat dan rakyat yang turut bersama memacu kemajuan negeri.

“Antara deretan kejayaan yang berjaya kita raih adalah di bawah Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) yang mengungguli Anugerah Diamond bagi Low Carbon City, serta mengekalkan status ASEAN Clean Tourist City 2026-2028 sempena ASEAN Tourism Awards 2026.

“Selain itu, Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) pula melakar sejarah merangkul 26 Anugerah, serta Anugerah Khas kategori Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) ‘Paling Lama Terlibat Dengan Low Carbon Cities Framework (LCCF) di Majlis Anugerah Bandar Rendah Karbon 2025.

“Pengiktirafan antarabangsa turut diraih Putra Specialist Hospital yang dianugerahkan The Brandlaureate The World’s Best Brand Award 2025 bagi kategori Advanced Specialty Care, manakala MITC menerima The BrandLaureate Brand of the Year Award 2025–2026, bagi kategori Excellence in MICE Venue (Meetings, Incentives, Conventions and Exhibitions),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka Bagi Bulan Mac 2026 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri; Ketua Pegawai Eksekutif PERTAM Datuk Mohamad Azmi Sabtu; ketua-ketua jabatan negeri dan persekutuan serta lain-lain kenamaan.

Menurut Ab Rauf, paling membanggakan, negeri ini muncul sebagai negeri kedua terbaik negara dalam Indeks Perpaduan Nasional (IPNas) 2025 selepas meraih skor 0.816 sekali gus mencerminkan keharmonian negeri ini di bawah pentadbiran Kerajaan Negeri pada masa kini.

Pada masa sama, beliau turut berkongsi pencapaian 40 orang Paramedik Komuniti (PARAKOM) yang berjaya menerima Sijil Asas Perawat Kecemasan Komuniti dan Basic Life Support (BLS) dari American Heart Association yang diiktiraf di seluruh dunia.

“Ini adalah hasil kerjasama strategik Kerajaan Negeri Melaka dan Jabatan Perubatan Kecemasan Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Terima kasih diucapkan kepada Bahagian Musaadah selaku penyelaras kerjasama ini,” ujarnya.

Tambah beliau, pencapaian yang dilakar itu bukan sekadar tentang pengiktirafan semata-mata, sebaliknya pencapaian yang paling membanggakan adalah apabila setiap usaha kerajaan negeri benar-benar memberi makna dan kesan kepada kehidupan rakyat.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

166
Kongsi :
Previous post MELAKA MAJUKAN LEBIH 432 EKAR TANAH ADAT
Next post MELAKA LAKAR LEBIH 200 PENCAPAIAN DALAM 3 TAHUN